Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Peluang pekerjaan, ekonomi antara isu yang perlu diberi tumpuan

KIBAR MORDI
Mordi selepas sesi dialog awam sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat negeri 2026 di Dewan 2020 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KANGAR: Peluang pekerjaan, ekonomi, kepimpinan belia serta fasiliti sukan antara isu dibangkitkan golongan belia di negara ini yang menjadi harapan golongan itu untuk kerajaan memberikan tumpuan dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata isu itu dibangkitkan dalam Program Jelajah Kita Dengar: Sesi Libat Urus Belanjawan Belia MADANI yang dilaksanakan di tiga lokasi setakat ini mengikut zon, iaitu di Zon Utara pada 28 Ogos lepas, diikuti Zon Pantai Timur (4 Sept) dan Zon Tengah (5 Sept).

Beliau berkata program jelajah itu akan diteruskan di tiga lokasi lagi yang melibatkan Sabah esok dan Zon Selatan (24 Sept) manakala Sarawak (27 Sept).

“Sesi jelajah belanjawan ini saya sendiri akan bergerak ke Sabah esok untuk menyantuni belia di Sabah bagi mendapatkan maklumat tentang kehendak belia dalam belanjawan kali ini.

“Kita ada enam lokasi jelajah semuanya, dan setakat tiga lokasi jelajah ini, itulah rakyat nak kita ambil peduli dan perlu ambil perhatian,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog awam bersama beliau sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat negeri 2026 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Mordi berkata resolusi berbentuk memorandum cadangan belia dijangka disediakan selepas selesai program jelajah di enam lokasi itu sebelum diserahkan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Karnival Kerjaya pada 3 Okt nanti.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Rakan Muda mempunyai banyak program yang dapat membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan belia menerusi cara menggalakkan golongan itu mengekalkan gaya hidup sihat.

“Ia bukan menangani secara direct tetapi kita ada program bagi mengekalkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, untuk membantu memberikan peluang, ruang bergiat secara aktif dalam aktiviti harian supaya mereka tidak tertekan,” katanya.

Dalam pada itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan KIBAR dirangka melalui pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasakan dan memperkukuh golongan belia akar umbi khususnya belia tidak berpersatuan.

“Penganjuran KIBAR kini giat berlangsung di seluruh negara dengan keseluruhan 17 siri. Pendekatan ini bagi memastikan capaian program yang menyeluruh termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman,” menurut kementerian itu.

KBS juga berharap pelaksanaan KIBAR menjadi pemangkin kepada gerakan pembangunan belia yang progresif, inklusif dan berdaya tahan demi masa depan negara seiring dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 dan kerangka Malaysia MADANI.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement