Sikap toleransi, persefahaman dan hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di malaysia membolehkan rakyat hidup dalam suasana aman dan tenteram.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak banyak negara di dunia mempunyai masyarakat majmuk dapat hidup dalam keadaan aman.

Berucap sempena majlis sambutan perayaan Thaipusam 2013 di Batu Caves, beliau menegaskan kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa membela nasib semua kaum demi menjamin keharmonian yang berterusan di negara ini.

Melalui dasar yang dilaksana kerajaan ia memastikan tiada mana-mana pihak tercicir atau terpinggir daripada arus pembangunan dan kemajuan negara.

Bagi masyarakat India misalnya, pelbagai program diatur bagi memastikan nasib golongan terlibat sentiasa terbela.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penubuhan jawatankuasa kabinet masyarakat India , peruntukkan RM100 juta khusus untuk pembangunan SJKT serta 1 bilion ringgit saham dalam amanah saham 1Malaysia untuk masyarakat India .

Mulai tahun depan pemberian belanjawan khas bakal dinikmati sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan SJKT akan mendapat peruntukan RM100 juta dalam belanjawan 2012 dan 2013 untuk pembangunan.

Beliau berkata komitmen kerajaan adalah untuk melihat segala bantuan yang diberikan akan meningkatkan kualiti pendidikan SJKT.

Ia sekali gus melonjak mutu pendidikan negara.

Katanya masyarakat India sentiasa mendapat pembelaan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui penubuhan jawatankuasa kabinet masyarakat India (JKKM) bagi mempertingkat kualiti hidup masyarakat India.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau akan membawa permohonan masyarakat India untuk menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum di seluruh negara ke kabinet.