Skip to main content

Malaysia

Belasungkawa: Jenazah A Samad Said selamat dikebumikan

Jenazah Datuk Seri A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 10.53 pagi. - Astro AWANI
Jenazah Datuk Seri A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 10.53 pagi. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jenazah Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A Samad Said, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 10.53 pagi, di sini, hari ini.

Allahyarham, yang menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam pada usia 91 tahun, sebelum itu disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, pada jam 10.15 pagi.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, selain kenalan rapat Allahyarham termasuk penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir serta tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin.

Advertisement

Bacaan talkin disempurnakan oleh Ketua Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Ustaz Muhammad Ansari Paslan.

Pada 23 November, Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua.

Advertisement

Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam dalam dunia kesusasteraan Melayu, khususnya selepas lebih tujuh dekad mengabdikan diri dalam bidang penulisan.

Allahyarham merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden, bukan sekadar dikenali sebagai penyair dan novelis, malah sebagai suara nurani rakyat, penggerak budaya serta lambang keteguhan bahasa Melayu.

Karya-karya Allahyarham yang dekat dengan denyut kehidupan masyarakat menjadikan beliau antara nama yang terus dikenang dalam perkembangan sastera tanah air.

Allahyarham dilahirkan pada 9 April 1935 dan dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara keempat pada 1985.

Antara karya terkenal beliau termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.

Karya Salina turut diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala beberapa karya lain diadaptasi ke pentas teater dan drama.

Sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan turut mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.

Allahyarham turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.

 

 

Must Watch Video

Advertisement