Skip to main content

Malaysia

Kadar tambang RTS Link dijangka diumum Januari 2027

Dianggarkan, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor untuk bekerja di Singapura. - Foto fail/BERNAMA
Dianggarkan, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor untuk bekerja di Singapura. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kadar tambang rasmi RTS Link Johor Bahru–Singapura dijangka diumumkan Kementerian Pengangkutan pada Januari 2027 sebelum operasi bermula Februari 2027.
  • Kerajaan negeri Johor melaksanakan pelbagai langkah intervensi trafik dan pengukuhan pengangkutan awam sebagai persediaan operasi RTS Link.
  • Perancangan jangka panjang termasuk cadangan pembinaan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) dan penambahbaikan enam koridor jalan raya utama di Greater Johor Bahru.
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura dijangka diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Januari 2027, sebelum perkhidmatan itu memulakan operasi yang dijadualkan pada Feb 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan antara RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dengan kerajaan Malaysia dan Singapura.

"Pada Februari lepas, laporan akhbar ada menyatakan anggaran antara SGD5 hingga SGD7 setiap perjalanan ataupun RM15.50 hingga RM21.70 bagi setiap perjalanan.

Advertisement

"Namun, kadar tambang rasmi dijangka diumumkan oleh MOT pada Januari 2027 sebelum perkhidmatan RTS Link memulakan operasi pada Februari 2027. Oleh itu, kadar tambang sehala atau pergi balik masih belum dimuktamadkan pada peringkat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) tentang kadar tambang RTS Link pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Sementara itu, menjawab soalan asal J. Kartiyaini (PH-Skudai) dan Baharudin mengenai langkah menangani kesesakan trafik, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai langkah intervensi penyuraian trafik dan pengukuhan jaringan pengangkutan awam di Johor Bahru sebagai persediaan menyeluruh menjelang operasi RTS Link.

Beliau berkata berdasarkan Indeks Kesesakan Trafik 2025, Johor Bahru berada di tangga kelima dengan indeks kesesakan meningkat daripada 36.9 peratus pada 2024 kepada 39.5 peratus, manakala masa yang hilang pada waktu puncak meningkat daripada anggaran 61 jam kepada 65 jam.

"Dianggarkan, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor untuk bekerja di Singapura. Di sebalik angka ini, ada rakyat yang berusaha mencari rezeki dan menyara keluarga.

"Kerajaan negeri memahami bahawa isu ini bukan sekadar tentang kelancaran trafik, tetapi turut menyentuh masa, kesejahteraan dan kehidupan harian rakyat. Sebab itu persediaan menghadapi pengoperasian RTS Link yang dijangka bermula pada Feb 2027 perlu dibuat secara menyeluruh," katanya.

Menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), beliau berkata kerajaan negeri memberikan tumpuan menyelaras pergerakan penumpang di sekitar Stesen RTS Bukit Chagar termasuk penyediaan jambatan pejalan kaki bertingkat serta mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian di Jalan Bukit Chagar bagi memberikan laluan kepada bas pengantara.

Selain itu, katanya, jaringan pengangkutan awam turut diperkukuh menerusi persetujuan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan perkhidmatan komuter sektor selatan bagi laluan Paloh–Kulai–Kempas Baru ke JB Sentral (10 perjalanan sehari) dan Kempas Baru–Pasir Gudang (empat perjalanan sehari), di samping perkhidmatan BAS.MY (168 bas) dan Bas Muafakat Johor (39 bas).

Beliau berkata bagi penyuraian trafik jangka pendek, sistem lampu isyarat pintar telah dilaksanakan di 210 persimpangan, manakala laluan kontra sepanjang enam kilometer di Jalan Skudai yang bermula pada 13 Julai lepas menunjukkan maklum balas positif, diikuti pelaksanaan tidal flow bagi kenderaan perdagangan di Tambak Johor mulai 1 Dis ini.

Mohamad Fazli berkata untuk perancangan jangka panjang pula, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada cadangan pembinaan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) sepanjang 36.2 kilometer membabitkan 22 stesen bagi jajaran Skudai dan Tebrau serta penambahbaikan enam koridor jalan raya utama di Greater Johor Bahru.

"Keenam-enam koridor ini berdasarkan kajian yang kita buat merupakan jalan yang perlu diambil perhatian dan memerlukan kos yang tinggi. Jadi, melalui kerjasama Kementerian Kerja Raya dan juga Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), kita memohon projek-projek ini dapat disusun dengan baik bagi keenam-enam koridor ini, susur baharu, laluan alternatif dan juga persimpangan bertingkat bagi meningkatkan kapasiti rangkaian jalan raya Greater Johor Bahru.

"Perancangan jangka masa panjang perlu mengambil kira pertumbuhan kawasan bandar dan keperluan penduduk supaya penyelesaian dapat dilaksanakan dan memberikan manfaat berterusan kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement