Belasungkawa: 'Kasut Loake buat Irwan'

Allahyarham Irwan meninggal dunia pada 11 Disember 2025.
BANYAK tahun yang lalu ketika melepak di satu kedai mamak berhampiran dengan Pasar Seni, Kuala Lumpur bersama pemuzik Meor Yusof Aziddin Meor Hassan (Meor) dan orang filem Laqman Al Jafree, penulis diperkenalkan dengan “orang surat khabar”, Irwan Muhammad Zain.
“Ha! Orang surat khabar dah sampai,” kata Laqman yang kuat suaranya sehingga boleh didengari di dua kedai bersebelahan.
Irwan hanya tersenyum dan di situlah bermulanya persahabatan kami sehinggalah dia meninggalkan kita semua pada 11 Disember 2025.
Kini Meor juga sudah tiada, begitu juga Irwan dan Laqman sudah lama tidak ditemui penulis.
Ketika Meor meninggal dunia beberapa tahun lalu, penulis pergi menziarah bersama-sama Irwan.
Sepanjang persahabatan dengan Irwan dalam tahun-tahun berikutnya, dari masa ke semasa kami akan bertemu atau paling tidak pun bertanya khabar melalui emel.
Di awal persahabatan kami, telefon pintar tidaklah secanggih hari ini.
Kalau berada di luar negara, emel akan menjadi pilihan untuk bertanya khabar kerana 10 tahun awal perkenalan kami, penulis aktif berada di negera-negara konflik dalam misi pemantauan pilihan raya antarabangsa.
Dan sudah tentulah apabila pulang ke Malaysia, masa akan diluangkan bersama Meor dan Irwan kalau tidak di Pasar Seni, di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.
Irwan juga merupakan “penasihat fesyen” kepada penulis dan sebagai “timbal balas”, apa-apa sahaja keraguan dia dalam isu-isu berkait politik, kita akan bincang bersama-sama.
Dipendekkan cerita penulis juga kemudiannya menjadi “orang surat khabar” akan tetapi surat khabar dalam talian dan seringkali bertemu Irwan kalau tidak di lapangan, di pelbagai majlis semasa membuat liputan.
Antara kehebatan Irwan ialah jaringannya perhubungannya dengan orang-orang hebat dalam pelbagai bidang. Kalau ahli politik, sampai ke tahap menteri menjadi rakan lepaknya di kedai mamak.
Kalau dalam bidang seni, Datuk M Nasir itu salah seorang teman baiknya. Dan Irwan “tidak kedekut” untuk berkongsi jaringannya bersama kawan-kawan.
Senimalaya
Sepanjang Irwan berkhidmat sebagai wartawan kanan Astro AWANI, ada beberapa kali juga dia menyatakan hasrat untuk berhenti.
Kalau sebelum-sebelum ini, penulis akan cuba membuatkan Irwan tidak jadi berhenti dengan janji “harapan dan cita-cita” kepadanya, tetapi tidak apabila dia mengatakan untuk memberi tumpuan kepada portal Senimalaya yang diasaskannya.
Sebagai tanda sokongan, dua artikel penulis sumbangkan kepada portal Senimalaya di awal penubuhannya iaitu 99 Patung dan Covid-19 dan ‘Now and Then’: Surat cinta John kepada Paul?
Portal Senimalaya pun semakin lama semakin berkembang sehingga Irwan juga baru sahaja memulakan program audio siar bagi membincangkan tentang kesenian dan kebudayaan.
Irwan juga antara yang menyokong penuh apabila penulis dan kawan-kawan memulakan The Tiger Show Podcast.
Malahan Irwan sendiri pernah hadir ketika proses rakaman dalam episod bersama teman baiknya, Hisommudin Bakar yang juga merupakan pengarah eksekutif Ilham Centre.
Baru-baru ini penulis meminta bantuan Irwan untuk dapatkan janji temu bersama seorang pempegaruh terkenal sebagai tetamu kepada The Tiger Show Podcast.
Beberapa hari selepas itu Irwan menghubungi penulis memberitahu pempengaruh itu bersetuju untuk menjadi tetamu The Tiger Show Podcast.
“Dia kata lepas dengan Senimalaya baru Tiger Show.
“Ada upahnya… Adik kau kat London kan?” soal Irwan.
“Kalau London boleh aku kirim Loake… kirim dengan duit la.”
Sudah beberapa kali Irwan menceritakan kepada penulis yang dia teringin sangat nak beli kasut jenama Loake yang dibuat di England itu.
Walaupun adik penulis sebenarnya berada di Scotland, komitmen sudah diberikan supaya kasut idaman Irwan itu akan tetap dibelikan.
Kebetulan pula adik penulis akan pulang ke Malaysia bulan Mac tahun hadapan, dan dia pun bersedia untuk mencarikan kasut yang diminati Irwan apabila singgah di London.
Akan tetapi Allah lebih menyayangi Irwan, penulis terkejut diberitahu oleh Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail yang dia sudah meninggalkan kita semua.
Ketika dalam perjalanan ke Hospital Cyberjaya dengan berpandukan aplikasi Waze yang membawa penulis ke jalan-jalan yang tidak diduga seperti belakang rumah orang di Puchong, tiba-tiba teringat tentang kasut Loake yang dipesan Irwan.
Dengan sedihnya penulis menghantar mesej WhatsApp kepada adik: “Kawan yang nak kirim ni baru meninggal dunia”.
Di hospital dan esoknya pada 12 Disember 2025 semasa upacara pengebumian Irwan, kelihatan begitu ramai sekali kawan-kawan wartawan dan seniman yang bersama-sama perjalanan terakhirnya di muka bumi ini.
Penulis sempat berbisik kepada Ashwad: “Hang ingat tau, Irwan yang kenalkan aku dengan hang.”
Dengan muka sedih Ashwad yang juga rakan setugas Irwan selama berbelas tahun mengangguk.
Cuma yang hairannya, tidak seorang pun ahli-ahli politik termasuk yang menjadi menteri hari ini hasil liputan dan bantuan Irwan selama ini, kelihatan.
Akan tetapi begitulah kehidupan. Yang paling penting, sahabat baik Irwan dan Meor yang dikenali sebagai Im ada.
Itu sudah cukup buat penulis tersenyum kerana Irwan, Meor dan Im benar-benar bersahabat baik.
Al-Fatihah buat sahabatku Irwan Muhammad Zain.
Terima kasih atas persahabatan, kenangan dan tunjuk ajar yang diberikan.
* Amin Iskandar merupakan hos The Tiger Show Podcast.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


