Belia Perak diseru rebut peluang TVET, buang persepsi ‘kerja kelas kedua’

Khairudin berkata, belia juga perlu membuang persepsi bahawa TVET merupakan bidang ‘kelas kedua’ atau pekerjaan yang kotor semata-mata.
IPOH : Golongan belia di Perak diseru agar tidak terlalu memilih pekerjaan dan sebaliknya merebut setiap ruang serta peluang yang ada, khususnya melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi antara teras pembangunan modal insan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, belia perlu berani menceburi bidang kemahiran tanpa dipengaruhi persepsi negatif masyarakat terhadap sesuatu pekerjaan.
“Orang muda jangan pilih kerja. Jangan terlalu memilih apa nak buat. Rebut ruang dan peluang yang ada. Tak kisahlah kemahiran itu dirasakan susah ataupun pelik, tetapi ambil peluang dan insya-Allah akan berjaya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program berkaitan TVET, di sini, hari ini.
Khairudin berkata, belia juga perlu membuang persepsi bahawa TVET merupakan bidang ‘kelas kedua’ atau pekerjaan yang kotor semata-mata.
“Buang persepsi TVET ini ‘low class’. Hakikatnya mereka yang berjaya hari ini ramai datang daripada aliran TVET. TVET ini unik kerana menawarkan dua kelebihan serentak, iaitu akademik dan kemahiran,” katanya dalam episod khas AWANI Pagi.
Menurut beliau, graduan akademik yang hanya memiliki ijazah tanpa kemahiran khusus berdepan persaingan lebih sengit dalam pasaran pekerjaan, berbanding lepasan TVET yang mempunyai kepakaran teknikal serta kemahiran praktikal.
“Oleh sebab itu, saya harap belia memberikan fokus kepada TVET kerana negara memang mahu menjadikan TVET sebagai elemen penting untuk meningkatkan kemahiran dan seterusnya memberi pendapatan yang lumayan kepada orang muda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Perak terus komited memperkasa TVET menerusi Pelan Perak Sejahtera yang meletakkan pembangunan belia dan modal insan berkemahiran tinggi sebagai antara tonggak utama.
Katanya, pelan itu memberi penekanan kepada peluasan akses latihan kemahiran, pemerkasaan institusi TVET, kerjasama strategik bersama industri serta peningkatan kebolehpasaran graduan agar belia Perak mampu memenuhi keperluan guna tenaga masa depan.
Sebagai antara usaha mendekati golongan muda, Khairudin berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Jelajah AIM TVET Perak yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar dan belia mengenai peluang latihan kemahiran, pensijilan serta prospek kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional.
“Program jelajah ini kita bawa terus ke daerah-daerah supaya belia, khususnya lepasan sekolah, mendapat maklumat secara langsung mengenai institusi TVET, kursus yang ditawarkan serta peluang pekerjaan yang menanti mereka,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan agensi berkaitan, institusi latihan dan pihak industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan seiring keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Melalui Pelan Perak Sejahtera dan pelbagai inisiatif TVET yang sedang digerakkan, kerajaan negeri mahu memastikan belia bukan sahaja berilmu, malah berkemahiran tinggi agar mampu menjana pendapatan yang lebih stabil dan mencapai kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
Khairudin turut menasihatkan belia supaya mengubah mentaliti dengan mengambil apa sahaja peluang pekerjaan yang ada sebagai langkah permulaan membina kerjaya.
“Orang muda jangan pilih kerja. Ambil apa yang ada, bina kemahiran dan pengalaman. Akhirnya, mereka boleh menjadi warganegara yang berkemahiran tinggi, berilmu dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


