KUALA LUMPUR: Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali pada Rabu memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella ada menceritakan kepadanya bahawa dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, berkata Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka berada di dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan trauma.

"Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya 'mommy' mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

Saksi pendakwaan pertama itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata sebaik tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

"Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti COVID-19. Bella juga merujuk beberapa nama individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya," kata saksi itu yang dilihat sebak semasa memberi keterangan.

Menurut Zuriaty semasa beliau berada di hospital itu, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan Bella sebaliknya mempersoalkan mengapa anak-anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS, Serdang.

Saksi itu berkata Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil oleh rakannya itu untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020 dan sejak itu, Bella tinggal bersama Siti Bainun dan remaja itu berada di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

Terdahulu ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

Kepada soalan Zilfinaz, saksi berkenaan menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang terdapat pada tubuh badan remaja perempuan itu.

Memberikan gambaran terperinci berkaitan Bella, saksi itu berkata meskipun Bella seorang remaja sindrom Down, beliau seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.

Ditanya mengenai hubungan Siti Bainun dan remaja berkenaan, Zuriaty memberitahu bahawa pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang-barang yang Bella suka.

"Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baharu namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun," kata saksi itu.

Zuriaty berkata disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

Saksi itu menjelaskan bahawa beliau membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

"Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil malah jika dia hendak minum air dia akan mengambilnya sendiri," kata saksi itu yang turut memaklumkan beliau turut berada di Kuala Selangor bersama Siti Bainun pada hari berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

-- BERNAMA