"Belum ada keperluan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Sahabat," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Jelasnya, walaupun Lahad Datu telah diumumkan sebagai zon merah, namun untuk mengumumkan PKPD, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.

"Untuk kawasan Felda Sahabat, tiada keperluan itu. Hanya pertingkatkan Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan itu.

"Buat masa ini, tiada pergerakan keluar dan masuk ke daerah itu dibenarkan dan bermula semalam, petugas kesihatan telah menjalankan saringan kesihatan kepada semua individu yang berada di daerah itu.

Difahamkan proses saringan kesihatan akan selesai sehingga Rabu ini dan dan perintah pertingkatkan PKP akan tetap dijalankan sehingga keputusan saringan COVID-19 diperolehi," katanya ketika ditemui media di salah satu Sekatan Jalan Raya (SJR), dekat sini.

Tambah Zaini, sehingga keputusan saringan kesihatan diperolehi, pasukan keselamatan dan agensi bersama akan melipatgandakan kawalan di sana bagi membendung perebakan virus COVID-19.

"Selama menunggu keputusan, individu yang mempunyai simptom positif akan diasingkan bagi mengelak penularan dan sekali gus mengurangkan kontak kepada komuniti setempat.

"Pelaksanaan PKPD akan mengambil masa yang lama dan perlu menjalani pelbagai proses sedangkan keadaan di Felda masih terkawal," katanya.

Tambah Zaini, sekiranya keadaan makin meruncing di sana, pihaknya akan susun semula kaedah yang bersesuaian bagi membendung penularan COVID-19.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memggariskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan-kawasan atau lokaliti tertentu dalam zon merah atas nasihat KKM apabila berlaku penularan mendadak dalam lokaliti.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor dalam kenyataannya semalam berkata, penguatkuasaan PKP diperketatkam di kawasan Felda bertujuan untuk mencegah dan menghapuskan rantaian COVID-19 yang boleh mengancam keselamatan kesihatan dalam komuniti.