KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Kerajaan Indonesia berhubung cadangan kerjasama dua negara bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, setakat ini jurucakap Kementerian Luar Indonesia memaklumkan kepadanya telah menerima surat yang diutuskan sebelum ini berhubung tawaran Malaysia kepada negara itu. 

"Terakhir kita terima setakat saya tahu, kenyataan daripada jurucakap Kementerian Luar (Indonesia) mereka dan cakap apa kerajaan Malaysia tawarkan bekerjasama dengan Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

"Yang lain itu macam saya katakan lah kita kena tengok balik, kita ada perjanjian Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) ASEAN sejak 2002.

"Malaysia antara yang terawal menandatangani, tetapi kita tahu ada kekangan daripada segi perjanjian ini apabila berlaku di negara jiran, apa kita kena ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat kolam takungan Jinjang di ibu negara pada Rabu.

Ujar Nik Nazmi lagi, Malaysia akan melihat semula perjanjian terbabit sekiranya boleh dinaik taraf untuk menangani isu jerebu.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang Jerebu Rentas Sempadan jelasnya, NRECC akan melihat perkara itu secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Itu kita akan bawa, kita tengok bagaimana nak naik taraf perjanjian tersebut untuk ambil tindakan.

"Banyak bercakap tentang akta atau Rang Undang-Undang (RUU) Jerebu Rentas Sempadan, saya faham kita akan menyusul isu tersebut secara mendalam.

"Tetapi ia tidak secara langsung, saya faham keresahan rakyat tapi nak buat akta melibatkan bidang kuasa kat luar, ia akan mencabar itu pandangan daripada Pejabat Peguam Negara. Singapura ada akta tersebut, mereka pun tidak semudah itu nak ambil tindakan," katanya lagi.

Pada 6 Oktober lalu, Malaysia menerusi NRECC telah mengutuskan surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.