YAN: Fokus pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir yang masih hilang susulan kejadian kepala air di kawasan kaki Gunung Jerai di sini Rabu lalu, akan bertumpu di kawasan sekitar Titi Hayun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasukan SAR akan memberi tumpuan kepada pencarian di bawah timbunan kayu menggunakan jentera berat, bermula Isnin.

Tambahnya, pihaknya turut menemui petunjuk baharu susulan penemuan mangsa kelima pada Ahad dan telah menandakan beberapa lokasi yang perlu diberikan perhatian dalam operasi SAR.


Tragedi Kepala Air | Mayat bekas imam ditemui

"Dengan penemuan mayat hari ini, kita jangkakan bahawa tiada lagi mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Batu Hampar. Jadi pasukan SAR di kawasan itu akan dibawa ke kawasan ini (Titi Hayun) untuk mempergiatkan lagi pencarian di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian pengoperasian SAR di Titi Hayun, di sini, pada Ahad.

Mayat mangsa kelima, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang hilang dalam tragedi berkenaan pada Rabu lalu ditemui pasukan SAR di bawah timbunan kayu pada jam 3.23 petang tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: Operasi SAR tumpu cari mangsa terakhir

BACA: Bencana Gunung Jerai: Mayat bekas imam ditemui dalam keadaan baik, hadap kiblat

Untuk rekod, dalam kejadian berkenaan, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.

Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Dengan penemuan mayat mangsa kelima hari ini, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.