Bencana Kim Kim: Kerajaan kaji pampasan pada penduduk terjejas

Rahimah Abdullah
Mac 25, 2019 03:48 MYT
Kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakan pampasan bencana Sungai Kim Kim. - Gambar fail
Kerajaan masih mengkaji jumlah pampasan yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas akibat kesan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ketika ini, kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakan pampasan tersebut.
“Kejadian di Sungai Kim Kim itu baru berlaku. Setakat sekarang apa yang kerajaan lakukan ialah memberikan mereka kesihatan dan rawatan yang diperlukan setakat ini.
"Yang lain itu sekarang kita nak ambil maklum manakah puncanya dan bagaimana kita nak mengurangkan atau melakukan pencegahan dan pampasan itu belum lagi dikira berapa dan bagaimana nak diberikan pampasan kepada mereka,” katanya semasa menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 2.43 tan sisa bahan kimia dibuang ke Sungai Kim Kim dan turut menyebabkan 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup.
Sejak kejadian berlaku, 11 individu berjaya ditahan dengan tiga daripadanya dihadapkan ke mahkamah, manakala lapan individu lain dibebaskan dengan jaminan polis.
BACA: "Betapa sedihnya keadaan sungai di negeri kita' - Tunku Idris
BACA: Pencemaran Sungai Kim Kim: Kerajaan bakal pinda akta, hukuman lebih berat
#Bencana Kim Kim #Kerajaan kaji pampasan pada penduduk terjejas #pampasan #Sungai Kim Kim #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail