Wakil rakyat DAP menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mengawal aktiviti pembangunan bagi membendung masalah banjir kilat dan tanah runtuh yang sering melanda negeri itu sejak kebelakangan ini.

Ong Kok Fooi (DAP-Berapit) berkata kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menghentikan seketika sebarang permohonan pembangunan baharu di negeri ini selain mengawal pembangunan sedia ada.

"Kalau boleh kerajaan tempatan tingkatkan kerja-kerja memantau dan menyelesaikan projek-projek tebatan banjir. Untuk masa yang singkat ini berhentikan semua pembangunan.

"Macam pembangunan yang sudah dijalankan kita tak boleh hentikan. Jadi, bagi permohonan baharu sila berhenti buat sementara untuk mengurangkan banjir kilat ini," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Ong berkata beliau bimbang Pulau Pinang akan berdepan bencana alam yang serius jika masalah banjir dan tanah runtuh tidak diselesaikan dengan segera berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

"Kalau betul-betul terjadinya bencana alam yang serius...melihatkan kepada pemanasan global yang begitu serius, tanah runtuh di sana sini, adakah kita bersedia kalau terjadi (bencana alam)," katanya.

Terdahulu, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Telok Bahang) ketika membahaskan Bajet 2017 Pulau Pinang meminta kerajaan negeri pimpinan DAP untuk tidak melepaskan tanggungjawab mereka kepada kerajaan persekutuan dalam apa jua yang melanda negeri ini termasuk masalah banjir.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh menggunakan alasan negeri ini mempunyai bajet yang lebih kecil untuk melepaskan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan masalah banjir.

"Jika kerajaan negeri percaya bahawa masalah banjir besar akan dapat di atasi dengan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang, maka inilah isu yang perlu diberi keutamaan oleh pihak kerajaan negeri," katanya. -- Bernama