BUTTERWORTH: 13 lelaki termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai perarakan kematian di Jalan Siram, Butterworth pada 17 Jun lepas.

Tujuh individu termasuk dua remaja berkenaan mengaku bersalah manakala selebihnya tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Muhamad Yunus pada Jumaat.

S. Munesvaran, KS. Surendran, B. Subramaniam, K Yeshwar, dan S Logeswari, dan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Manakala Surendran Peeter William,M Jagan, M Thiruselvaan, N Amos, N Vihnoth dan M Guganeswaran  pula mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan mereka yang berumur diantara 15 hingga 35 tahun itu didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.

BACA: Berarak iring keranda: 11 lelaki direman empat hari

BACA: Polis kesan kumpulan berarak iringi keranda di Butterworth

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Siram, Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara pada 17 Jun lalu, kira-kira jam 2.50 petang.

Bagi kesalahan berkenaan, kesemua mereka didakwa dibawah Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Norhayati menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap lima lelaki yang mengaku bersalah namun sekiranya gagal membayarnya akan dipenjara selama dua bulan.

Manakala dua remaja itu pula dibenarkan ikat jamin RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum membuat keputusan.

Mahkamah juga membenarkan enam tertuduh yang tidak mengaku bersalah diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, empat tertuduh iaitu Subramaniam, Jagan,  Thiruselvaan dan Guganeswaran turut berdepan pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap.

Keempat-empat mereka dituduh dibawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000.

Bagaimanapun keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abd Halim dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh  diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan kedua-dua kes disebut semula pada 3 Ogos depan.