GEORGE TOWN: Padah bergurau membawa bom dalam beg, seorang wanita warganegara asing ditahan Polis Pulau Pinang semasa pemeriksaan di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berusia 33 tahun itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia jam 5.30 petang semalam.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat dari pihak LTAPP terdapat ancaman ungkapan bom di kaunter pendaftaran masuk di LTAPP Bayan Lepas.

"Sewaktu petugas melakukan pemeriksaan barangan di dalam beg, seorang wanita warganegara asing dengan lantang memberitahu petugas 'ada bom' di dalam beg tersebut sehingga didengari orang ramai yang turut berada di situ," kata Kamarul Rizal dalam kenyataan hari ini.

Ekoran dakwaan tersebut, wanita yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh itu kemudian ditahan polis pada jam 4.30 petang.

"Meskipun bergurau, namun wanita berkenaan tetap ditahan bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Wanita itu direman selama dua hari sehingga 31 Disember bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.