Kerajaan BN akan terus membela nasib rakyat sekiranya mendapat mandat yang kukuh dalam pilihan raya umum nanti.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN sentiasa merancang pertumbuhan ekonomi yang baik apabila bijak menarik pelabur-pelabur asing ke negara ini.

Menurutnya, kehadiran pelabur-pelabur yang membuat perlaburan berbillion ringgit di negara ini adalah hasil kemakmuran negara dengan perubahan terancang oleh kerajaan BN.

Katanya perubahan kerajaan yang tidak dirancang seperti yang berlaku di negara Mesir akan menyebabkan pengangguran, taraf hidup meningkat selain nilai matawang jatuh dan kadar inflasi turut meningkat.

Datuk Seri Najib berkata demikian semasa ucapannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas Alor Setar dalam lawatan kerja sehari beliau ke Kedah hari ini.

Ketibaan Najib di lapangan terbang disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta pemimpin Umno dan barisan BN negeri selain 3000 penyokong BN.