Sebab utama 14 kematian melibatkan penduduk Asli kaum Batek di Kuala Koh, Pos Lebir sejak 2 Mei hingga 7 Jun lalu perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada kemungkinan kematian itu disebabkan satu jenis penyakit, tetapi sehingga punca sebenar diketahui, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Kita sedang mencari sebab kenapa mereka meninggal dunia dengan begitu ramai...mungkin kerana jangkitan satu jenis penyakit.

"Tapi kita perlu tahu apa jenis penyakit yang sebabkan kematian mereka,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Rumah Peduli Negeri Melaka hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad memberitahu media siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit radang paru-paru berbanding jangkitan Tuberkulosis (TB) yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

BACA: 'Bukan TB atau Leptospirosis' - Dr Dzulkifly jelas punca jangkitan Kuala Koh belum diketahui

Beliau berkata, pihak kementerian telah memulakan siasatan seawal April lepas di perkampungan Orang Asli di Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar jangkitan penyakit yang didakwa menular di kawasan terbabit.