GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru semua organisasi penyiaran, khususnya organisasi penyiaran milik kerajaan seperti RTM, Media Prima dan Astro, serta portal berita bercetak mahupun atas talian untuk memberikan liputan media yang adil dan seimbang kepada semua parti-parti politik dan calon bebas di dalam PRU15 ini. Kerajaan dan Perdana Sementara Ismail Sabri perlu mengarahkan RTM untuk memainkan peranan mereka sebagai badan penyiaran negara yang berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

BERSIH mengingatkan semua organisasi media bahawa sebagai tunggak keempat demokrasi, mereka memainkan peranan yang penting untuk memastikan demokrasi hidup. Mereka adalah penghubung maklumat yang boleh mempengaruhi pilihan 21.1 rakyat Malaysia yang layak mengundi dalam PRU15 pada 19 November ini. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat malah perlu memberikan akses media adil kepada semua calon pilihan raya.

BERSIH mencadangkan tiga program TV dan siaran radio:
1. Siaran Parti Politik – di mana semua parti politik diberikan masa siaran untuk menerangkan manifesto mereka, sama ada secara sama rata atau berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi, dengan parti utama diberikan masa yang lebih, namun semua parti dan calon bebas masih diberikan masa siaran.

2. Debat calon PM – walaupun ini baru dalam politik Malaysia, debat bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita, di mana universiti dan sekolah telah lama menganjurkannya dan ianya merupakan sebahagian proses pembuatan dasar di Parlimen. Calon PM perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai keupayaan untuk membahaskan polisi penting dan mengucapkan isu-isu mustahak.
3. Dialog Pelbagai Parti – di mana wakil daripada parti yang berbeza dan bebas duduk bersama membincangkan pelbagai isu penting secara beradab dan bertamadun.

Inisiatif ini bukan sahaja berinformatif kepada rakyat malah akan menyemai budaya baharu politik yang lebih sivil di antara ahli-ahli politik. Parti-parti juga akan dipaksa untuk menurunkan calon yang lebih berkelayakan yang berupaya mewakili parti mereka dengan lebih baik.

RTM dan lain-lain badan penyiaran milik kerajaan yang menyediakan masa siaran saksama kepada parti-parti politik, ianya adalah satu bentuk pendanaan awam kepada parti politik secara tidak langsung, yang merupakan salah satu elemen reformasi pembiayaan politik yang negara ini perlukan.

Mari jadikan PRU15 sebagai pillihan raya yang membuka jalan kepada reformasi demokratik yang lebih baik dengan memastikan calon bebas dan parti-parti politik mempunyai akses media yang saksama.

#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
#MalaysiaDeservesBetter
#MalaysiaLayakLebihBaik
#VoteFuture 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH