Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Khairunnisa Kasnoon
September 23, 2020 15:18 MYT
September 23, 2020 15:18 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 23 September 2020.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekod kutipan bidaan mencecah RM1.98 juta melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) melibatkan nombor siri pendaftaran kenderaan DDV.
Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata bidaan yang dibuka selama lima hari bermula 17 Sept lepas, melangkaui jangkaan sasaran awal iaitu RM1.5 juta dan ia merupakan kutipan tertinggi siri nombor pendaftaran semenjak JPJeBID diperkenalkan bagi Kelantan.
Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim hari ini atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung perempuannya berusia 14 dan 19 tahun sejak April hingga September tahun ini.
Tertuduh yang berusia 58 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Ruzaimah Mohd Ridzuan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin nafi bahawa kerajaan telah tumbang seperti mana yang didakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media khas, awal hari ni.
Ahli Parlimen Rembau itu, melalui ciapan di Twitternya berkata, Mesyuarat Kabinet berjalan seperti biasa hari ni, walaupun Anwar mendakwa mendapat sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan baharu yang bakal ditubuhnya bukan kerajaan ‘back door’ ataupun kerajaan pintu belakang.
Anwar berkata kerajaan baharunya mendapat majoriti yang kukuh dan menyakinkan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan tiada seorang pun daripada 18 wakil rakyat daripada parti itu menyokong untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Pas dalam masa terdekat.
Kerajaan mengambil maklum mengenai keadaan majikan dan pekerja dalam sektor tertentu yang masih terjejas ekoran penularan wabak COVID-19 di negara itu.
Atas sebab itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang terjejas, di bawah Pakej KITA PRIHATIN.
Penderaan demi penderaan dilakukan manusia terhadap haiwan, dan di negara ini setiap kali perbuatan itu dirakam dan ditularkan, masyarakat secara umum tidak akan menyebelahi pelakunya.
Kali ini, tular video tentang seekor haiwan dipercayai jenis beruk yang 'dibuli' oleh seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti.
Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada Selasa telah ditangguhkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia terpaksa ditangguhkan ekoran kegeringan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tiga beradik berusia 12, 10, dan sembilan tahun yang diselamatkan daripada tinggal bersama 13 ekor anjing, musang dan timbunan sampah pada Isnin lalu, kini menjalani kehidupan yang lebih teratur di Rumah Kanak-Kanak Rapha di sini.
Kakak sulung tiga beradik itu berkata, mereka menerima pakaian baru dan tidak lagi kelaparan serta diberitahu akan ke sekolah yang lebih berhampiran dengan rumah tersebut, memandangkan sekolah asal mereka terlalu jauh.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan menyiasat tiga aspek utama berhubung insiden panel konkrit atau parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dalam pembinaan, menghempap kereta Sabtu lepas.
Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata tiga aspek itu melibatkan kaedah pembinaan, kualiti bahan binaan dan kemahiran serta akreditasi pekerja mahir terlibat.