Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 9, 2021 15:58 MYT
Jun 9, 2021 15:58 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 9 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 8.56 pagi, di sini, hari ini.
Bekas Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup semasa mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren LRT di stesen KLCC, pada 25 Mei.
Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 negara mencapai sasaran lebih 150,000 pada 8 Jun. Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) jumlah keseluruhan dos yang dicapai adalah 151,309.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp Bhd (Top Glove) hari ini mengumumkan untung bersihnya pada suku ketiga (Q3) tahun kewangan 2021 melonjak kepada RM2.06 bilion daripada RM347.9 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Kes baharu COVID-19 negara kembali melonjak selepas merekodkan 6,239 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Menara Merdeka 118 di ibu negara melakar sejarah sebagai bangunan tertinggi di Malaysia apabila lantai tingkat ke-118 bangunan itu telah siap dibina.
Lapan pemain badminton negara berjaya menempah tempat ke Sukan Olimpik di Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Darurat yang berkuat kuasa pada masa ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan Darurat Keselamatan pada 1969, justeru cadangan mewujudkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bukanlah satu langkah yang sesuai.
Selangor bakal melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) seiring usaha mempercepatkan kadar vaksinasi di seluruh negeri itu menerusi peruntukan RM200 juta.