Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 1, 2024 15:57 MYT
April 1, 2024 15:57 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 1 April 2024.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Tidak sanggup lagi menahan derita akibat jangkitan kuman sehingga menyebabkan ibu jari kaki kanannya reput dan patah, penyanyi veteran Roy tiada pilihan lain selain memohon bantuan masyarakat mengumpul dana bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera.
Seorang wanita bersama teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak kandung perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu.
Seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan bayaran RM100 sehingga RM650 yang akan dikreditkan mulai Rabu ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin bertitah bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.
Orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth dan sebaliknya, akan menikmati tambang feri percuma tanpa had mulai 8 April ini.
Seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri di sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa keputusan untuk melaksanakan penyasaran subsidi melibatkan bahan api dan barangan keperluan asas adalah untuk memastikan sekitar 85 peratus rakyat Malaysia benar-benar memperoleh faedah daripada inisiatif yang dilaksanakan.
Satu lagi kejadian membaling 'molotov cocktail' berlaku di KK Mart cawangan Kuching, Sarawak, menjadikan insiden ketiga melibatkan kedai serbaneka tersebut.