KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Sebelum mengumumkan berita baik tersebut, Anwar sempat berseloroh dengan menyatakan BKK tersebut ditangguhkan pada tahun hadapan.

"Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

"Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, Insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI, pada Isnin.

Pada 15 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri meneruskan tradisi pemberian bantuan itu yang dilaksanakan sejak 10 tahun lepas.

Insentif itu, katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.