Berita Terkini ASEAN 25: Kerjasama ASEAN–New Zealand kekal teguh hadapi cabaran global - PM Anwar

Anwar berkata sidang pada hari ini bukan sahaja bertujuan meraikan perkongsian sedia ada namun memperkukuh hubungan kedua-dua pihak. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan dan kerjasama antara ASEAN dan New Zealand kekal kukuh serta berterusan sejak sekian lama, sama ada ketika waktu makmur mahupun saat mencabar.
Ringkasan AI
- Hubungan ASEAN-New Zealand kekal kukuh sejak 50 tahun lalu, termasuk ketika menghadapi krisis kemanusiaan dan ketidaktentuan global, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand bertujuan memperkukuh kerjasama sedia ada dan meneroka peluang baharu dalam menghadapi cabaran era global.
- Nilai perdagangan antara ASEAN dan New Zealand mencecah AS$26 bilion, menjadikan ASEAN rakan dagang keempat terbesar New Zealand, dipacu oleh AANZFTA dan RCEP.
“New Zealand telah berdiri bersama ASEAN dalam saat kemakmuran dan juga ketika menghadapi cabaran, daripada krisis kemanusiaan hinggalah ketidaktentuan global,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di pembukaan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau turut menyeru agar persidangan kali ini dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran di era global.
“Perbincangan hal ini pastinya membuka laluan baharu, bukan sekadar menavigasi tetapi juga meneroka peluang-peluang baharu,” katanya lagi.
Ucaptama itu disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin negara ASEAN berserta Perdana Menteri New Zealand, Chistopher Luxon yang tiba pada 28 Oktober untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di ibu kota.
Tahun ini menandakan 50 tahun hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand yang bermula pada 1975 di Singapura.
Perdagangan antara New Zealand dan ASEAN terus berkembang dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) pada 2010 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020.
Sehingga Jun 2024, nilai perdagangan antara kedua-dua pihak mencecah AS$26 bilion, menjadikan ASEAN rakan dagang keempat terbesar New Zealand.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

