[KOLUMNIS] Malaysia mencorak cerita dunia diplomasi, ekonomi dan jiwa bangsa
![[KOLUMNIS] Malaysia mencorak cerita dunia diplomasi, ekonomi dan jiwa bangsa [KOLUMNIS] Malaysia mencorak cerita dunia diplomasi, ekonomi dan jiwa bangsa](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/71761653592_TBVisitMalaysiaAS.jpg)
Malaysia sedang mempersembahkan kepada dunia satu bentuk kepimpinan baharu. Kepimpinan yang tidak ditentukan oleh saiz atau kuasa, tetapi oleh keupayaan mengurus kepercayaan 'trust capital'. - Gambar fail/Bernama
Malaysia mencorak cerita dunia
Dalam peradaban sebuah negara, akan muncul detik yang menandakan kebangkitannya. Ini kerana keberanian negara berdiri di tengah pentas dunia, bukan sebagai penonton, tetapi sebagai pengarah naratif zamannya.
Tahun 2025 dan 2026 bagi Malaysia bukan sekadar rentetan peristiwa dalam kalendar nasional. Ia merupakan garis peralihan strategik, satu “inflection point” yang membentuk wajah masa depan negara ini dalam peta dunia.
Negara-negara kecil dan sederhana jarang mempunyai keistimewaan untuk menentukan rentak geopolitik dunia. Namun, dalam lanskap baharu dunia yang bersifat polycrisis ,diwarnai ketidaktentuan kuasa besar, krisis kemanusiaan, tekanan perubahan iklim dan peralihan ekonomi global, Malaysia tampil sebagai suara yang tenang tetapi tegas, kecil dari segi geografi, tetapi besar dari segi makna dan pengaruh.
Inilah maksud sebenar “Malaysia mencorak cerita dunia”. Satu naratif yang mengangkat negara ini daripada sekadar titik di peta kepada subjek aktif dalam reka bentuk masa depan rantau dan dunia. Ia bukan tentang menjadi kuat secara ketenteraan, tetapi menjadi relevan secara strategik. Ia bukan tentang bersaing dengan kuasa besar, tetapi menjadi jambatan yang menyatukan, dan di sinilah naratif 2025/26 bermula dan berkembang.
Dua arus besar: Diplomasi dan jiwa bangsa
Pada tahun 2025, Malaysia mengemudi mandat kepengerusian Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), satu tanggungjawab berprestij yang meletakkan negara ini di tengah-tengah percaturan geopolitik serantau dan global. Selepas ini ,pada 2026 pula, dunia akan kembali menjejak tanah ini menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), sebuah program besar-besaran yang melangkaui makna pelancongan, menjadi wadah memperkenalkan jati diri bangsa dan jiwa negara kepada dunia.
Dua peristiwa ini bukanlah episod yang terpisah. Ia adalah dua arus besar yang bertemu di satu muara sejarah. Satu mengangkat Malaysia di mata dunia sebagai pemain diplomatik yang berwibawa, satu lagi bakal menghidupkan Malaysia di hati rakyatnya sendiri sebagai bangsa yang bersatu dan berjiwa besar. Di sinilah diplomasi dan budaya berpadu. Diplomasi rasmi menggerakkan struktur negara, manakala diplomasi rakyat, melalui senyuman, keramahan dan keterbukaan pastinya menyentuh hati dunia.
Malaysia sedang mempersembahkan kepada dunia satu bentuk kepimpinan baharu. Kepimpinan yang tidak ditentukan oleh saiz atau kuasa, tetapi oleh keupayaan mengurus kepercayaan 'trust capital'. ASEAN memberi ruang Malaysia membina kredibiliti strategik, manakala VMY2026 akan memberi peluang rakyat Malaysia membina hubungan emosi global. Inilah simbiosis antara kuasa tegas dasar luar dan kuasa lembut jiwa bangsa.
Menjadikan ASEAN nadi peradaban global
ASEAN bukan sekadar blok ekonomi atau rangkaian teknokratik yang terhad kepada sidang akhbar dan perjanjian antarabangsa. Ia adalah 'architecture' peradaban moden Asia Tenggara yang lahir daripada kesedaran kolektif bahawa negara-negara kecil dan sederhana di rantau ini hanya akan sejahtera jika mereka bersatu, bukan bersaing.
Enam dekad selepas penubuhannya, ASEAN kini bakal muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia pada 2030 dengan lebih 701.5 juta penduduk pada Oktober 2025 dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan mencecah USD4.5 trilion dijangka meningkat ke USD5.2 trilion menjelang 2030. Namun angka hanyalah permukaan. Nilai sebenar ASEAN terletak pada fungsinya sebagai perisai strategik bagi rantau ini.
Malaysia, sebagai salah satu pengasas ASEAN, yang kembali ke kerusi pengerusi pada tahun 2025 bukan atas giliran semata-mata, tetapi sebagai ujian kepimpinan nasional. Selat Melaka bukan sekadar laluan perdagangan. Ia adalah nadi global yang menghubungkan Timur dan Barat.
Laut China Selatan bukan sekadar perairan strategik. Ia adalah medan keseimbangan geopolitik dunia. Dalam konteks ini, kepengerusian Malaysia dilihat sebagai satu keperluan struktur serantau. Negara ini mempunyai kredibiliti sejarah sebagai negara berkecuali berprinsip, berupaya menjadi jambatan di saat dunia semakin terpecah. ASEAN sendiri berada di persimpangan: antara menjadi blok pasif atau kuasa penentu rantau. Malaysia memilih jalan kedua - "The ASEAN Way”.

Strategi 3K: Keanjalan (Realignment), Ketahanan (Resilience), Keberkaitan (Relevance)
Dalam dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai ketegangan dan kerapuhan (brittle) dari Gaza ke Ukraine, dari Laut China Selatan ke Indo-Pasifik, Malaysia memilih falsafah diplomatiknya sendiri. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan dengan jelas dasar luar negara: “Kita bersahabat dengan semua, tunduk kepada tiada.” Ungkapan ini bukan sekadar slogan politik, tetapi inti pati doktrin diplomasi Malaysia, doktrin yang berteraskan prinsip, kebijaksanaan dan keberanian mengekalkan pendirian bebas.
Kepengerusian ASEAN 2025 membawa bersamanya pendekatan:
• Realignment – Menjadikan ASEAN bukan lagi pemerhati pasif tetapi pemain aktif dalam isu-isu serantau dan global, termasuk Gaza, Myanmar dan Laut China Selatan. Malaysia menggesa ASEAN bergerak daripada neutraliti beku kepada neutraliti berprinsip.
• Resilience – Menjadikan rantau ini berdaya tahan dari segi ekonomi digital, tenaga hijau, keselamatan makanan dan pelaburan berteknologi tinggi. Malaysia mahu ASEAN membina rantaian nilai sendiri, bukan sekadar pengguna global.
• Relevance – Menjadikan ASEAN suara dunia Selatan (Global South), menghubungkan Asia Tenggara dengan dunia Islam, Kesatuan Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur.
Pendekatan ini menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar ibu kota diplomasi ASEAN, tetapi “capital of conversations”, tempat dunia datang bukan untuk mendengar arahan kuasa besar, tetapi untuk mencari jalan tengah.
Malaysia menjadi rujukan serantau
Malaysia memimpin, ASEAN melangkah, bukanlah jalan yang bebas ranjau. Tahun 2025 menjadi tahun diplomasi bertekanan tinggi, menguji kemampuan negara untuk mengimbangi prinsip moral, realiti politik dan persepsi dunia. Tiga peristiwa utama menjadi medan ujian yang mencorak imej Malaysia;
Pertama, insiden Sumud Flotilla Gaza, yang melibatkan penahanan warga Malaysia. Ia bukan sekadar isu kemanusiaan tetapi ujian terhadap keupayaan Malaysia mempertahankan prinsip tanpa menggugat hubungan diplomatik global. Pendekatan Malaysia, tegas pada prinsip, tenang dalam tindakan menjadi contoh bagaimana sebuah negara sederhana mampu meleraikan kegusaran tanpa konfrontasi.
Kedua, pertikaian antara Kemboja dan Thailand. Malaysia tampil sebagai “credible mediator” bukan menghukum, tetapi mendamaikan. Peranan ini membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai kuasa penstabil dalam rantau yang kompleks.
Ketiga, kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, satu peristiwa global yang mengheret perhatian media dunia. Malaysia mengurus “optik global” dengan cermat, memastikan agenda ASEAN tidak tenggelam dalam bayang politik personaliti.
Trump menzahirkan penghargaan mendalam kepada Malaysia dan Anwar atas kepimpinan beliau sebagai Pengerusi ASEAN dalam memastikan perjanjian damai Thailand–Kemboja terus digerakkan dengan tekad dan keberanian. Pengiktirafan ini bukan sekadar ucapan diplomatik, tetapi isyarat jelas bahawa Malaysia kini dilihat sebagai kuasa penentu keamanan serantau, negara yang dihormati kerana keupayaan memimpin dengan hikmah, menyatukan pihak bertelagah dan mengangkat suara keamanan ke pentas dunia.
Ketiga-tiga episod ini menguji daya kepimpinan negara pada skala serantau dan global.Namun ujian inilah yang menjadikan kepimpinan Malaysia diperakui dunia bukan kerana saiz kuasa, tetapi kerana kebijaksanaan memposisikan diri sebagai jambatan moral dalam dunia yang berpecah.

PMX, KSN dan Speaker: Teras keutuhan kepimpinan negara
Kejayaan Malaysia dalam kepengerusian Association of Southeast Asian Nations (ASEAN25) adalah bukti kepada keutuhan kepimpinan negara di tiga lapisan utama. Di peringkat eksekutif, Anwar memberi hala tuju strategik dan wibawa negara. Di peringkat pentadbiran, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan jentera kerajaan bergerak cekap dan bersedia. Sementara di peringkat legislatif, Tan Sri Johari Abdul memperkukuh legitimasi suara rakyat melalui ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).
Tiga lapisan kepimpinan ini saling mengukuhkan antara satu sama lain. Hala tuju negara diterjemahkan dengan berkesan oleh pentadbiran awam, manakala suara legislatif memberikan keabsahan demokratik kepada dasar negara. Ia mencerminkan satu bentuk penyelarasan kepimpinan nasional yang matang dan tersusun. Suatu kelebihan strategik yang jarang wujud secara harmoni di rantau ini.
Atas kefahaman inilah, pengiktirafan wajar diberikan kepada ketiga-tiga cabang kepimpinan ini. Kejayaan mengemudi ASEAN25 dan selepas ini VMY2026 bukanlah kejayaan individu, tetapi hasil kesepaduan kepimpinan negara, jenteranya dan yang paling dihormati ialah kesatuan rakyatnya yang mengangkat dan menjulang imej Malaysia sebagai negara yang teratur, matang dan dihormati.
VMY2026: Diplomasi rakyat dan 'soft power Malaysia'
Kemegahan diplomasi Malaysia tidak boleh berhenti di meja rundingan atau dewan sidang. Apabila dunia datang lagi ke Malaysia, mereka tidak hanya menilai pidato rasmi atau protokol antarabangsa ASEAN 25, mereka akan menilai pula jiwa rakyatnya. Di sinilah VMY2026 memainkan peranan strategik sebagai platform diplomasi rakyat.
Dengan sasaran 35.6 juta pelancong dan unjuran hasil RM147.1 bilion, VMY2026 bukan sekadar kempen ekonomi. Ia adalah naratif kebangsaan yang membolehkan setiap warganegara Malaysia menjadi duta kecil negara. Pelancongan bukan lagi industri pinggiran, tetapi komponen penting diplomasi ekonomi (economic statecraft). Setiap pelawat membawa masuk nilai ekonomi berganda, dari pemandu teksi ke penjaja tempatan, dari inap desa ke hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Namun lebih daripada angka, VMY2026 ialah pentas 'soft power Malaysia': keramahan, ketenangan, kesederhanaan dan keterbukaan rakyatnya. Dalam dunia yang sarat propaganda dan persaingan keras, 'genuine kindness' dan 'authentic hospitality' menjadi aset strategik. Malaysia tidak perlu menjadi gergasi untuk mempengaruhi dunia, ia hanya perlu menjadi dirinya yang sebenar.
ASEAN 2025 dan VMY2026: Dari agenda ke legasi negara
Jika dua tahun ini dilihat sekadar acara, ia akan lenyap dalam lipatan berita. Tetapi jika dilihat sebagai perjalanan kebangsaan, ia akan menjadi legasi. Malaysia memiliki kekuatan yang gagah dan ia adalah rakyatnya sendiri. Dalam dunia yang penuh syak wasangka, keikhlasan menjadi nilai tertinggi. Senyuman peniaga kecil, keramahan pemandu grab dan teksi, keterbukaan pelajar muda, kesederhanaan nelayan dan kejujuran penjaja, semua ini menjadi simbol yang lebih kuat daripada seribu papan iklan. Inilah “diplomasi jiwa” yang tidak boleh dibeli atau ditiru.
Apabila sejarah menilai tempoh ini nanti, biarlah dunia mencatat bahawa Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah tetapi menjadi jiwa rantau ini. Bahawa Malaysia bukan sekadar negara kecil tetapi pengarah naratif dunia baharu, dan bahawa ASEAN 2025 serta VMY2026 bukan titik tamat, tetapi permulaan legasi Malaysia sebagai kuasa berprinsip, bersuara dan dihormati.
#RancakkanMADANI dan #MADANIBekerja
Dalam masa yang sama, dunia kini berpeluang menilai secara dekat bagaimana konsep Malaysia MADANI diterjemahkan dalam setiap urusan negara bukan sekadar pada peringkat dasar, tetapi dalam mutu pelaksanaan yang nyata. MADANI bukan slogan. Ia diukur melalui disiplin kerja, kecekapan penyampaian, budaya hospitaliti, serta tadbir urus yang rapi dan tersusun.
Setiap perincian penganjuran, kecil atau besar, menjadi cermin kepada keupayaan negara menyelaras pelbagai aspek secara tenang, cekap dan profesional. Dunia menilai bukan sekadar hasil, tetapi cara Malaysia bekerja: bagaimana “mutual trust” dan “service integrity” terbentuk dalam sikap rakyat serta sistem pentadbiran yang berfungsi. Dalam bahasa diplomasi moden, inilah bentuk "nation branding" yang hidup melalui nilai, ketika prinsip MADANI tidak sekadar dicanang, tetapi dipraktikkan. Inilah wajah Malaysia yang sebenar: Malaysia MADANI yang berdisiplin, berwibawa dan dihormati kerana mutu kerjanya.
"Biar dunia datang menyaksikan Malaysia dan pulang untuk mencintainya. Biar Jalur Gemilang berkibar di angin dunia dan terus semaraklah semangat rakyatnya di setiap wilayah, pekan, kampung, jiwa dan hati."
Cerita ASEAN 2025 dan VMY 2026 milik rakyat Malaysia seluruhnya, nelayan, petani, pelajar, pemandu, seniman dan penjaja. Apabila sejarah menilai tempoh ini nanti, biarlah tercatat bahawa Malaysia tidak hanya menjadi tuan rumah dunia ,tetapi menjadi jiwa rantau ini.
Malaysia bukan sekadar lokasi di peta, tetapi wajah kepada harapan dunia bahawa kesederhanaan masih mampu memimpin dan kebijaksanaan masih boleh menyatukan.
* Datuk Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


