Berita Terkini ASEAN25: 2,000 anggota, pegawai AKPS ditugaskan pastikan kelancaran pintu masuk

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata anggota agensi itu akan melaksanakan penyelarasan ketibaan ketua-ketua negara dan delegasi antarabangsa di Kompleks Bunga Raya dan KLIA Terminal 1. - Gambar fail/BERNAMA
SEPANG: Kira-kira 2,000 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ditugaskan bagi memastikan kelancaran di pintu masuk negara bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Okt ini.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata anggota agensi itu akan melaksanakan penyelarasan ketibaan ketua-ketua negara dan delegasi antarabangsa di Kompleks Bunga Raya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
"AKPS yang menjaga pintu masuk, kita akan mengambil pemakluman daripada Kementerian Luar mengenai ketibaan delegasi sama ada ketua kerajaan ataupun ketua negara. (Kemudian) kita akan memudah cara kemasukan, kita hanya akan membuat tapisan keselamatan imigresen di pintu masuk," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata secara umumnya, kesemua anggota AKPS telah dibekukan cuti dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan kelancaran ketibaan delegasi dan ketua-ketua negara ke sidang kemuncak berkenaan.Dari segi keselamatan, beliau berkata aspek itu di bawah kawal selia serta penugasan Polis Diraja Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu menyentuh keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami