Berita Terkini ASEAN25: Anwar adakan pertemuan dua hala dengan Trump

Pertemuan dua hala ini dijangka membincangkan isu tarif semikonduktor, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau. -Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden AS Donald Trump selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.
- Pertemuan dua hala dijangka membincangkan isu tarif semikonduktor, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.
- AS kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia dengan hubungan diplomatik sejak 1957 dan perdagangan bernilai RM324.91 bilion pada 2024.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau antara topik yang dijangka dibincangkan semasa lawatan sulung Trump ke Malaysia.
Menurut Kagan, Malaysia merupakan rakan kongsi yang amat penting bagi AS, memandangkan syarikat negara itu telah membuat pelaburan besar dalam sektor ini, khususnya yang menumpukan kepada rantaian bekalan Barat.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957. Pada 2014, kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan itu kepada Tahap Perkongsian Komprehensif.
AS merupakan antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) pada 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


