Berita Terkini ASEAN25: Dalam ‘The Beast’, Anwar hati ke hati dengan Trump tentang Gaza, Malaysia

Perdana Menteri berkata, beliau sebenarnya bertuah kerana berpeluang bersemuka dalam keadaan begitu dengan Trump. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kesempatan dijemput secara peribadi oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menaiki kenderaan rasmi Cadillac One ‘The Beast’ dari Kompleks Bunga Raya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Oktober lepas, digunakan Perdana Menteri sebaik-baiknya untuk berbincang tentang dua perkara – Gaza dan Malaysia.
Ringkasan AI
- PM Anwar gunakan peluang menaiki The Beast bersama Trump untuk berbincang isu Gaza dan kepentingan Malaysia, termasuk hubungan dengan China serta jemputan Brazil dan Afrika Selatan ke Sidang Kemuncak ASEAN.
- Anwar tekankan keprihatinan Malaysia terhadap Gaza, menjelaskan pertemuan dengan pemimpin Hamas bertujuan menggesa sokongan kepada inisiatif damai OIC, sambil mendesak pelan keamanan yang lebih menyeluruh.
- Trump beri komitmen hentikan serangan sebagai fasa pertama, manakala Anwar menegaskan keamanan berkekalan mesti merangkumi hak rakyat Palestin dan penyelesaian komprehensif.
Ketika ditanya mengenai isi perbualan beliau sepanjang tempoh perjalanan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang penting, Trump adalah seorang pendengar yang baik dan teliti, biarpun mereka menyentuh mengenai isu yang sensitif.
“Dan saya beri kredit kepada Presiden Trump — beliau juga seorang pendengar yang baik dalam pengaturan dan pertemuan peribadi ini. Beliau memberi pandangan, dan saya dengan sopan tidak bersetuju dalam beberapa isu.
“Beliau mahu tahu, sudah tentu, tentang hubungan antara Malaysia dengan jiran kita, khususnya dengan China, dan mengapa saya jemput Brazil dan Afrika Selatan, dan saya jelaskan.
“Tentang tarif, saya katakan 19 peratus itu masih tinggi bagi kita, tetapi kini beliau mengenakan sifar tarif untuk kemudahan utama kita, eksport utama kita — semikonduktor buat masa ini. Saya ucapkan terima kasih kepadanya untuk itu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.
Dan sudah tentu, tegas Perdana Menteri lagi, beliau turut menyentuh mengenai keprihatinan Malaysia terhadap Gaza, serta mengapa beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas, kumpulan yang dianggap pengganas oleh Amerika Syarikat.
“Beliau tahu tentang pertemuan saya dengan bekas pemimpin Hamas. Saya jelaskan kepadanya mengapa saya berada di Doha. Saya kenal satu dua daripada mereka. Saya putuskan untuk bertemu mereka dan menggesa mereka menyokong inisiatif damai oleh negara Arab, OIC. Itu sahaja. Selepas itu, salah seorang daripada mereka terbunuh dalam serangan Israel.
“Saya katakan, saya memang menyokong, dan saya rasa tiada siapa boleh menafikan bahawa beliau cukup tekad memastikan ada keamanan di Gaza, hentikan pembunuhan berterusan.
“Tetapi saya katakan, jika kita bercakap tentang keamanan yang berkekalan, ia mesti menyeluruh. Jawapan beliau — ini fasa pertama. Kami sedang mengusahakannya. Kami ambil serius, tidak boleh gagal,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau sebenarnya bertuah kerana berpeluang bersemuka dalam keadaan begitu dengan Trump.
“Saya rasa saya berada dalam kedudukan yang bertuah kerana pertama sekali, beliau benarkan saya berbincang empat mata dengannya secara peribadi, dengan penuh keyakinan.
“Saya akui, beliau mendengar dengan teliti pandangan kami, dan ada yang bertentangan dengan kenyataan awal beliau. Jadi, apa yang anda harapkan saya lakukan?
“Saya rasa saya sudah lakukan yang terbaik untuk menyampaikan suara hati, apa yang Malaysia mahu kami lakukan. Jika tiada peluang ini, jika beliau tidak hadir, peluang itu tidak akan wujud. Tetapi sekurang-kurangnya ada suara yang beliau perlu dengar,” katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

