Berita Terkini ASEAN25: Jepun komited bina masa depan ASEAN melalui AI, ekonomi hijau - Takaichi

Jepun komited kekal rakan strategik utama ASEAN demi masa depan bersama berasaskan teknologi, kelestarian & keamanan serantau. - Reuters
KUALA LUMPUR: Jepun menegaskan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik utama ASEAN dalam membina masa depan bersama yang berteraskan teknologi, kelestarian dan keamanan serantau.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, inisiatif itu termasuk melalui pelancaran Inisiatif Penciptaan Bersama Jepun–ASEAN untuk Kecerdasan Buatan (AI Co-Creation Initiative).
Tambah beliau, inisiatif itu akan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem AI yang selamat, boleh dipercayai dan berpaksikan nilai kemanusiaan, selain memacu pembangunan sosioekonomi negara-negara ASEAN melalui inovasi dan penyelidikan bersama.
“AI mempunyai potensi besar untuk mengubah secara drastik ekonomi dan masyarakat. Melalui pembangunan model, pembangunan sumber manusia dan penyelesaian bersama, Jepun berharap dapat mewujudkan ekosistem AI yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai bersama ASEAN,” katanya ketika berucap semasa Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun di Kuala Lumpur.
Takaichi berkata, kerjasama antara Jepun dan ASEAN akan turut diperluas dalam bidang ekonomi hijau, pendigitalan, rantaian bekalan, serta sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, sejajar dengan usaha membentuk ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan.
“Kami akan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pendigitalan termasuk AI, inisiatif hijau yang merangkumi sistem penyahkarbonan, serta daya tahan ekonomi dan rantaian bekalan rentas sektor,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Jepun akan terus menyokong keamanan dan kestabilan serantau melalui pelbagai platform, termasuk Official Security Assistance (OSA) dan kerjasama dalam keselamatan maritim serta keselamatan siber.
“OSA akan diperluas kepada lebih banyak negara ASEAN dan kerjasama dalam bidang lain seperti tindak balas bencana akan dipergiatkan,” katanya sambil menambah Jepun turut memperkukuh kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk penipuan terancang.
Selain aspek keselamatan dan teknologi, Jepun turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan hubungan antara generasi, termasuk melalui program Nihongo Partners, Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Program (SSEAYP) dan projek pertukaran belia Genesis.
“Pertukaran antara ASEAN dan Jepun kini semakin aktif, dan kami akan terus memupuk hubungan dari hati ke hati merentasi generasi,” katanya.
Takaichi menegaskan bahawa Jepun dan ASEAN berkongsi visi sama untuk memastikan rantau Indo-Pasifik kekal aman, stabil dan makmur, sambil menyeru agar semua pihak memperkukuh semangat kerjasama demi masa depan bersama.
“Dengan bekerjasama rapat bersama ASEAN, Jepun akan berusaha mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini agar kemajuan yang dicapai dapat dinikmati bersama,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


