MELAKA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meluluskan permohonan kemasukan semula beberapa figura utama termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersama 6,252 bekas pimpinan serta ahli di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat menerusi gagasan 'Rumah Bangsa' bagi membuka ruang kepada mana-mana ahli yang sebelum ini digantung, dipecat atau keluar parti untuk kembali tanpa sebarang syarat.
Advertisement
"Sebelum ini, Hishammuddin digantung keahlian daripada parti sejak tahun 2023 atas faktor tidak sehaluan dengan pendirian kepimpinan UMNO serta dakwaan melanggar disiplin parti.
"Seterusnya, Khairi Jamaluddin dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 kerana mengkritik UMNO secara terbuka selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Manakala Syed Hamid meninggalkan UMNO secara sukarela pada tahun 2018 selepas berlaku krisis keyakinan terhadap kepimpinan parti pada ketika itu." jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MKT turut meluluskan pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran dibuat secara dalam talian bagi memudahkan kemasukan ahli baharu, khususnya dalam kalangan anak muda.
Mengulas isu ekonomi, beliau berkata MKT menyedari cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga minyak dan inflasi global akibat konflik di Iran.
“Majlis Kerja Tertinggi menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO… memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan,” katanya.
Dalam masa sama, MKT turut memberi kebenaran kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid, khususnya dalam tahun yang tidak melibatkan pemilihan parti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, UMNO akan menganjurkan sambutan ulang tahun ke-80 parti bermula 1 hingga 5 Mei ini di World Trade Centre Kuala Lumpur.