Berita Terkini ASEAN25: PBB iktiraf ASEAN sebagai rakan strategik, komited laksana Pelan Tindakan 2026-2030

PBB harap ASEAN memainkan peranannya sebagai rakan strategik, khususnya dalam bidang seperti keselamatan, kemanusiaan dan perubahan iklim. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berharap ASEAN dapat terus memainkan peranannya sebagai rakan strategik, khususnya dalam bidang tertentu seperti keselamatan, kemanusiaan, serta perubahan iklim.
Ringkasan AI
- Antnio Guterres menyeru ASEAN agar kekal memainkan peranan penting dalam isu keselamatan, kemanusiaan dan perubahan iklim, selaras dengan Ikrar Tindakan PBB 20262030.
- Termasuk keamanan dan pencegahan konflik, pembangunan mampan, tindakan iklim serta tadbir urus AI, dengan penekanan kepada pembebasan tahanan politik di Myanmar dan reformasi sistem kewangan global.
- ASEAN perlu peranan lebih besar dalam ekonomi dan iklim global Guterres gesa negara ASEAN lebih diwakili dalam struktur kewangan antarabangsa dan menyumbang secara berani dalam usaha mengekang pemanasan global serta menangani jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan siber.
“Saya ucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, saya memuji peranan Malaysia dalam memudahkan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, yang menjadi petunjuk ke arah penyelesaian damai bagi pertikaian tersebut.
“Di Laut China Selatan, insiden mesti dicegah, risiko dikurangkan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan mesti dikekalkan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut.
“Di Myanmar, keamanan masih sukar dicapai. Ribuan telah terkorban, jutaan menjadi pelarian, keperluan kemanusiaan semakin meningkat, dan komuniti Rohingya serta lain-lain terus terperangkap dalam kitaran penindasan dan pelarian,” katanya lagi.
Beliau berkata di Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin.
Pelan Tindakan ASEAN–PBB 2026–2030 merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara ASEAN dan PBB yang bertujuan memperkukuh sinergi dalam bidang politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Ia menyokong pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030, serta menekankan prinsip inklusiviti, keadilan dan tindakan berasaskan keperluan serantau.
Pelan ini memberi tumpuan kepada empat bidang utama: keamanan dan pencegahan konflik, pembangunan mampan dan keadilan kewangan, tindakan iklim, serta transformasi digital dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI).
Selain itu ia turut menekankan keperluan pembebasan tahanan politik di Myanmar, pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, serta reformasi sistem kewangan global agar lebih mewakili negara membangun termasuk negara ASEAN.
Dalam pada itu Guterres berkata, jurang ketidaksamaan antara negara ASEAN semakin melebar, dengan hutang menjerut negara-negara, dan jaringan keselamatan kewangan global gagal berfungsi.
“Sudah tiba masanya untuk merombak struktur kewangan antarabangsa. Institusi kewangan global mesti mencerminkan dunia masa kini dengan penyertaan yang lebih besar daripada negara-negara membangun,” katanya lagi.
Selain itu beliau berkata, negara-negara ASEAN jelas kurang diwakili jika dibandingkan dengan sumbangan mereka terhadap ekonomi global semasa.
Beliau berkata, COP30 mesti membuktikan bahawa dunia mampu mengekalkan pemanasan global di bawah 1.5°C menjelang akhir abad ini dan menyampaikan keadilan iklim.
“Di seluruh ASEAN, banjir, kemarau, kenaikan paras laut dan jerebu mengancam keselamatan makanan, kesihatan dan kestabilan ekonomi.
“Kita memerlukan sumbangan nasional yang lebih berani untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempercepatkan peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui,” katanya lagi.
Dalam pada itu Guterres berkata, PBB telah melancarkan dua inisiatif: satu panel saintifik antarabangsa bebas mengenai kecerdasan buatan, dan satu dialog global tahunan mengenai tadbir urus AI yang menghubungkan sains, dasar dan amalan, serta memberi suara kepada setiap negara.
Selain itu beliau berkata, PBB juga mengiktiraf keperluan mendesak untuk menangani jenayah terancang rentas sempadan, khususnya pemerdagangan siber dan pusat penipuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


