Berita Terkini ASEAN25: Perjanjian gencatan senjata Thailand-Kemboja fokus pengunduran senjata berat, pemindahan periuk api

Perjanjian itu bertujuan mengekalkan gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Julai lepas selepas kedua-dua Perdana Menteri Kemboja dan Thailand ketika itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata.
KUALA LUMPUR: Pengunduran senjata berat oleh Thailand dan Kemboja dari kawasan sempadan serta pemindahan dan pemusnahan bahan letupan atau periuk api merupakan antara dua perkara utama perjanjian gencatan senjata yang bakal dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perjanjian itu turut melibatkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN di kawasan sempadan yang bergolak.
Beliau berkata perjanjian itu bertujuan mengekalkan gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Julai lepas selepas kedua-dua Perdana Menteri Kemboja dan Thailand ketika itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata.
"Kita mahu supaya tidak ada lagi pelanggaran gencatan senjata kerana selepas 28 Julai, walaupun gencatan senjata telah diadakan tapi terdapat juga pelanggaran-pelanggaran kecil walaupun mereka tak pakai senjata api tapi mereka pakai lastik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohamad berkata ASEAN juga berharap gencatan senjata itu akan berkekalan dan menyeru kedua-dua negara meneruskan rundingan serta mencari penyelesaian secara aman bagi isu persempadanan mereka.
"Malaysia tidak akan campur tangan dalam perkara urusan persempadanan itu kerana menghormati Prinsip Piagam ASEAN yang menekankan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota," katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga diraja Thailand dan rakyat negara itu atas kemangkatan Bonda Ratu Sirikit Kitiyakara semalam.
Ditanya sama ada perjanjian gencatan senjata akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, beliau berkata jadual ketibaan pemimpin itu masih bergantung kepada masa ketibaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
"Kita sudah ada jadual yang ditetapkan tetapi ia mungkin berubah bergantung pada jadual Presiden Trump," katanya.
Mohamad berkata upacara perasmian Sidang Kemuncak ke-47 akan berlangsung pagi esok diikuti sesi pleno dan permukiman serta sidang khas ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun dan India selain Mesyuarat Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).
"Kali ini kita terpaksa menyusun semula jadual. Biasanya pada hari pertama sidang kemuncak, urusan ASEAN hanya melibatkan negara-negara ASEAN sahaja. Namun Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi yang baru datang, perlu segera pulang ke Tokyo kerana Presiden Trump akan ke Tokyo.
"Perdana Menteri India Narendra Modi pula pada asalnya mahu pulang lebih awal tetapi tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, beliau tetap akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-India seperti yang telah diputuskan secara dalam talian," katanya.
Thailand dan Kemboja sudah lama terjebak dalam konflik mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas, yang mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak rantau berkenaan bermula esok hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

