Berita terkini ASEAN25: Selepas Amerika Syarikat, ASEAN kembali fokus kepada China

Perdana Menteri Anwar menyambut kedatangan Perdana Menteri Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 di Kuala Lumpur, pada Selasa. Turut serta delegasi dari kedua-dua negara. - Gambar ihsan Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: ASEAN terus mengamalkan dasar terbuka terhadap mana-mana pihak, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China bagi memastikan rantau ini terus berkecuali, aman dan ekonominya terus makmur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025 merakamkan penghargaan kepada China kerana terus mencerminkan iltizam untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN.
“Perdana Menteri Li Qiang, anda telah bersama kami awal tahun ini semasa Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China, dan kami berasa amat berbesar hati menerima kehadiran anda sekali lagi hari ini. Ini mencerminkan komitmen China yang teguh dan berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN."
"Dan jika ada yang tertanya-tanya, sehari sebelum ini kami bersama Presiden Trump dari Amerika Syarikat, dan hari ini kami kembali bersama China. Ini mencerminkan prinsip keterpusatan ASEAN.
“Dan saya ingin merakamkan penghargaan serta tahniah kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN atas kebijaksanaan dalam mengekalkan keterpusatan dan hubungan baik dengan semua negara," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika membuka Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Hubungan rasmi ASEAN–China bermula pada 1991 dan sejak itu berkembang pesat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, keselamatan, pendidikan dan kebudayaan.
Untuk rekod, China merupakan rakan dagang terbesar ASEAN selama lebih 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan mencecah lebih USD 700 bilion pada tahun 2023, dan Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) pada tahun 2010 menjadi titik tolak penting dalam integrasi ekonomi serantau.
Biarpun tuntutan bertindih dan aktiviti ketenteraan telah menimbulkan ketegangan, namun ASEAN dan China komited untuk menyelesaikan isu ini secara aman, seperti yang ditegaskan oleh Anwar sebelum ini.
Beliau berkata, ASEAN menekankan penyelesaian melalui dialog, bukan paksaan kuasa luar dan turut menegaskan bahawa penyelesaian mesti dicapai melalui ASEAN dan rakan serantau, bukan melalui tekanan geopolitik pihak luar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kesemua pemimpin termasuk Li Qiang dan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN, tidak semestinya mempunyai pandangan yang seragam.
“Dan itu bukan sesuatu yang diingini – namun saya percaya penghargaan terhadap keterlibatan China yang konsisten dan konstruktif dikongsi bersama oleh semua. Kita telah menyaksikan penandatanganan Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0).
“(Ini) merupakan satu langkah penting dalam kerjasama ekonomi kita. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan ASEAN dan China atas pencapaian luar biasa ini – perjanjian FTA pertama antara ASEAN dan China,” kata beliau lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

