MANILA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan kerjasama dengan negara ASEAN dalam bidang kecerdasan super (SI), sambil menyifatkan teknologi itu berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu kemajuan dalam bidang sains dan perubatan.
Beliau berkata, AS bersedia bekerjasama dengan setiap negara yang mahu membangunkan masa depan teknologi berkenaan, sekali gus memanfaatkan potensi besar yang mampu dibawanya kepada ekonomi global.
Trump berkata, kecerdasan super dijangka memberi impak lebih besar berbanding Revolusi Perindustrian dan kemunculan internet, berdasarkan perkembangan teknologi itu yang semakin pesat.
Menurutnya, teknologi berkenaan bukan sahaja mampu membuka peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, malah berupaya mempercepat penemuan dalam bidang sains dan perubatan.
Beliau memberi contoh bagaimana teknologi itu berpotensi membantu menghasilkan penawar dan penyelesaian perubatan bagi masalah yang sudah dikaji selama 50 tahun, dalam tempoh hanya beberapa minit.
“Amerika Syarikat kini mendahului dunia dalam bidang kecerdasan super dan mempunyai ekosistem SI paling berkuasa.
“Kami berharap dapat mengekalkan kedudukan itu dan teruja untuk bekerjasama dengan setiap negara yang diwakili di sini bagi membangunkan masa depan teknologi serta memanfaatkan pertumbuhan ekonomi besar yang dibawanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada makan malam sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di sini, yang turut dihadiri pemimpin negara anggota ASEAN.
Bagaimanapun, Trump mengingatkan pembangunan teknologi berkenaan perlu dilaksanakan secara berhati-hati, mengambil kira kepentingan keselamatan, nilai dan perlindungan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen AS untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara Asia Tenggara, dengan menyifatkan rantau ini sebagai antara persimpangan perdagangan paling aktif di dunia.
Beliau berkata, kira-kira satu perempat daripada aktiviti perkapalan dunia melalui Selat Melaka, sekali gus mencerminkan kepentingan strategik rantau ini dalam perdagangan antarabangsa.
Trump turut memaklumkan AS telah memeterai perjanjian perdagangan dengan Malaysia, Kemboja dan Indonesia, selain beberapa negara lain di rantau ini.