IPOH: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menjalankan siasatan berhubung penamatan surat hasrat (LOI) pembekalan kenderaan kerajaan yang berlaku ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha DAPSY Perak, Steven Tiw Tee Siang berkata siasatan itu perlu dilakukan kerana ia didakwa mempunyai elemen rasuah susulan pemberian kontrak bernilai RM700 juta kepada syarikat lain iaitu kos yang lebih tinggi berbanding bidaan syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.

“Sekiranya berlaku campur tangan dan unsur rasuah daripada mana-mana pihak, mereka wajar diheret ke mahkamah kerana RM700 juta ini adalah satu amaun yang besar dan pada masa itu negara sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi.

“Perlakuan tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Perkara ini tidak boleh diremehkan kerana apabila negara sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi, ada pihak pula yang berani yang begitu berani ‘sakau’ kewangan negara,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Perak Meru Raya dekat sini pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian; ADUN Malim Nawar, Shasha Veraiah; ADUN Keranji, Angeline Koo Haai Yen serta ADUN Pasir Pinji, Goh See Hua.

Pada Isnin media melaporkan Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan LOI yang ditawarkan kepada JV itu.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, mendakwa LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas  Muhyiddin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

Dakwa Vincent, perkhidmatan JV ditamatkan dan diberikan kepada syarikat lain dengan perbelanjaan RM700 juta lebih tinggi berbanding bidaan JV.