BUTTERWORTH: Sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual di Bukit Minyak, Pulau Pinang didenda RM58,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas kesalahan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen selain pengoperasian dijalankan tidak mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, syarikat itu didapati bersalah atas dua pertuduhan yang dikemukakan JAS.

Jelasnya, mahkamah mengarahkan syarikat tersebut, membayar denda RM8,000 untuk pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen manakala RM50,000 untuk pertuduhan kedua iaitu beroperasi tanpa memperolehi kelulusan EIA terlebih dahulu.

“Syarikat itu mempunyai lesen sebagai premis yang ditetapkan (buangan terjadual) bagi memproses buangan terjadual.

“Walau bagaimanapun mereka tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu tapak penstoran luar tapak di Permatang Pauh di mana buangan di stor,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Kata beliau, semua premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti melibatkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA di bawah Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terlebih dahulu dan seterusnya memperoleh lesen di bawah Seksyen 18 akta yang sama.