Faktor infrastruktur dan cuaca merupakan antara daya tarikan yang membolehkan Malaysia dipilih sebagai antara destinasi utama untuk golongan pesara Amerika Utara, kata Tourism Malaysia.

Malaysia mendapat kedudukan istimewa dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2014 oleh International Living yang menyusun senarai menyeluruh tentang apa yang dikenali sebagai 'best-bang-for-your-buck retirement destinations on the planet'.

“Tourism Malaysia gembira dengan kedudukan ini. Ramai memilih untuk bersara di Malaysia kerana perkhidmatan hospital di Malaysia bertaraf dunia dan juga ia jauh lebih murah berbanding Eropah.

“Selain itu cuaca Malaysia selesa berbanding di Amerika atau Eropah yang mempunyai musim sejuk,” kata Pengarah Pusat Malaysia Rumah Keduaku, atau lebih dikenali sebagai Malaysia My Second Home Programme, Ahmad Salwadi Salleh ketika dihubungi Astro AWANI.

Walaupun mempunyai perancangan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam senarai itu, Ahmad Salwadi akur bahawa negara-negara yang menewaskan Malaysia mempunyai kelebihan faktor geografi.

“Ramai di antara mereka akan memilih Ecuador, Panama atau Mexico sebab ia lebih dekat dengan Amerika. Kalau mereka nak datang ke Malaysia, ia boleh mengambil masa selama 24 jam untuk tiba di sini,” katanya.

Namun Tourism Malaysia bergembira kerana negara ini masih terbaik di Asia.

“Jika dibandingkan dengan Singapura, kos sara hidup di Malaysia lebih rendah. Dan jika dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand, kos sara hidup hampir sama tetapi Malaysia menang dari segi infrastruktur, pendidikan dan cuaca,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Apabila diminta untuk mengulas tentang program MM2H, Ahmad Salwadi berkata rakyat China merupakan majoriti di dalam program ini, tetapi mereka berusia 50 tahun ke bawah.

"Kalau dari golongan 50 tahun ke atas, rakyat Jepun merupakan majoriti di dalam program MM2H.

“Untuk lapan tahun berturut-turut Malaysia menjadi destinasi nombor satu untuk golongan pesara Jepun. Ini kerana di Jepun terdapat tsunami dan juga cuaca yang begitu sejuk. Jadi mereka memilih Malaysia kerana mereka tidak tahan sejuk dan juga perkhidmatan hospital yang berpatutan.

Ahmad Salwadi turut berkata bahawa pihak Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan pihak International Living untuk terus mengenal pasti apa yang masih kurang di Malaysia.

“Ia juga memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan kementerian untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi yang selesa dan bagus untuk golongan pesara,” katanya.