MALAYSIA
Bersatu dalam irama, Pesta Kondattam 2025 bakal gegar Taman Tasik Titiwangsa

Pesta Kondattam bakal membuka tirai sempena Festival Budaya Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dari 12 hingga 16 September ini. - Foto MOTAC
KUALA LUMPUR: Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara bakal berubah wajah dengan limpahan warna-warni budaya apabila Pesta Kondattam membuka tirai sempena Festival Budaya Malaysia 2025.
Ringkasan AI
- Pesta Kondattam 2025 akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dari 12-16 September, menampilkan lebih 70 acara budaya India.
- Acara utama termasuk kolattam terbesar, Urumi Melam serentak, lukisan Kolam MADANI, Silambam, Festival Holi dan konsert artis terkenal.
- Indian Festive Bazaar dan peragaan fesyen bertema setiap malam dijangka tarik lebih 50,000 pengunjung, kukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.
Antara acara utama ialah percubaan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records menerusi tarian kolattam terbesar dengan penyertaan lebih 2,000 peserta, persembahan Urumi Melam serentak di seluruh negara, serta lukisan Kolam Logo Malaysia MADANI terbesar yang melibatkan penyertaan rakyat pelbagai kaum.
Menurut Pengarah Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan, Nalini Rathakrishnan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan kehebatan seni Silambam dalam Kejohanan Antarabangsa Veeram, menikmati keindahan warna dalam Festival Holi, serta berhibur di konsert mini setiap malam yang menampilkan artis terkenal seperti King of Samba Rock, Darkkey Nagaraja, kumpulan Alleycats, Santesh dan Balan Kashmir.
"Bagi yang gemar bergaya, jangan lepaskan peluang menyertai Peragaan Fesyen Tradisional India dengan tema berbeza setiap malam seperti Lehenga Night, Saree Night, Vesthi Night, Kids in Traditional Outfit Night dan Bangle Night," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Lebih menarik, pengunjung juga boleh membeli-belah di Indian Festive Bazaar yang menghimpunkan makanan tradisi, kraf tangan, fesyen etnik dan pelbagai produk komuniti India tempatan.
Dengan sasaran lebih 50,000 pengunjung, Pesta Kondattam dijangka menjadi antara acara budaya terbesar tahun ini - bukan sekadar pesta hiburan, tetapi wadah memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia.
Tujuh Tarikan Utama Pesta Kondattam 2025
Lokasi: Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur
Tarikh: 12–16 September 2025
Masa: 9 pagi - 11 malam | Masuk Percuma
1. Indian Festive Bazaar
Suasana bazar ala India dengan makanan tradisi, kraf tangan, fesyen etnik dan produk unik. Tempat ideal untuk beli-belah sambil menyelami budaya India.
2. Unity in Rhythm: Kolattam Terbesar (Percubaan Malaysia Book of Records)
13 September | 8 pagi - 11 pagi
Tarian rakyat tradisional dari Andhra Pradesh dan Tamil Nadu menggunakan dua batang kayu kecil (kol). Lebih 2,000 peserta akan menari bersama. Terbuka kepada semua.
3. Urumi Melam Serentak Seluruh Negara (Percubaan Malaysia Book of Records)
13 September | 2 petang - 3 petang
Muzik tradisional India Selatan menggunakan gendang urumi. Kumpulan dari 14 negeri akan membuat persembahan serentak meraikan seni gendang yang penuh simbolik.
4. Lukisan Kolam Logo Malaysia MADANI Terbesar (Percubaan Malaysia Book of Records)
14 September | 9 pagi - 2 petang
Seni lantai tradisional menggunakan serbuk beras, kapur, bunga atau pewarna. Kolam berbentuk logo Malaysia MADANI akan disiapkan oleh peserta pelbagai kaum. Sijil penyertaan disediakan.
5. Veeram: Kejohanan Silambam Antarabangsa 2025
12 September | 9 pagi - 5 petang
Pertandingan seni mempertahankan diri tradisional India dengan penyertaan antarabangsa.
6. Festival Holi Malaysia 2025
14 September | Bermula 4 petang
Pesta warna di mana peserta mencalit serbuk pewarna sesama mereka. Meriah dengan muzik, tarian dan persembahan artis. Pengalaman Holi ala India, percuma untuk semua.
7. Konsert Mini dan Peragaan Fesyen Tradisional India
12–16 September | Setiap malam
Konsert artis Malaysia seperti Darkkey, Alleycats, Santesh dan Balan Kashmir. Parade fesyen bertema setiap malam: Lehenga Night, Saree Night, Vesthi Night, Kids Traditional Outfit Night dan Bangle Night.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami