Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan keputusan memecat Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh daripada keahlian parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas Dr Sharuddin yang ditawarkan menjadi Timbalan Menteri Kerja Raya oleh kerajaan Perikatan Nasional, mengeluarkan notis pemakluman pertukaran kedudukan kerusi beliau di Dewan Rakyat daripada blok kerajaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Berikutan itu, beliau menegaskan keahlian Sharuddin telah terhenti serta-merta menurut fasa 12.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

"Oleh yang demikian, dimaklumkan keahlian Datuk Dr Sharuddin Mat Saleh telah terhenti serta-merta menurut fasa 12.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ahli-ahli turut diingatkan tidak menyokong atau bersama bekas pemimpin Bersatu yang terlucut keahlian atau lebih dikenali kumpulan 'Blackout' kerana kumpulan itu bertujuan memburukkan nama baik parti.

"Dalam hal ini, Bersatu tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana ahli yang telah melanggar dan menyalahi perlembagaan parti,” katanya.

Sharuddin sebelum ini menerima jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya yang ditawarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, namun meletakkan jawatan pada awal bulan lalu.

Peletakan jawatan itu dibuat Sharuddin atas alasan beliau melakukan ijtihad politik salah dengan menyokong kerajaan dipimpin Muhyiddin.