KEPALA BATAS: Terletak di antara Butterworth dan Sungai Petani iaitu kira-kira 30 kilometer dari George Town, Bertam di bawah Parlimen Kepala Batas merupakan bandar yang 'matang' dengan pembangunan infrastuktur tanpa menjejaskan ekosistem semula jadinya.

Kawasan yang asalnya ladang kelapa sawit dan getah, kini pesat membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk Hospital Kepala Batas; Pangkalan Udara Wilayah Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bertam; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Bertam (PPUSMB).

Bertam mendapat perhatian khusus daripada kerajaan Pulau Pinang apabila bandar itu dipilih untuk ditransformasi sebagai bandar tenaga pintar yang dibantu oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan UKM Pakarunding dengan kerjasama Jinko Solar Technology Sdn Bhd.

Ketua Projek dan Felo Penyelidik Kanan SERI UKM Profesor Dr Lim Chin Haw berkata bandar tenaga pintar itu akan menggabungkan teknologi hijau dan sistem termaju khasnya teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan kesan alam sekitar sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga secara keseluruhan.

Justeru, Pensyarah Senibina Tenaga Pasif, Tenaga Rendah dan Simulasi Tenaga Bangunan itu berkata dengan itu penduduk Bertam dapat menikmati keadaan hidup lebih baik, selain mengurangkan kesan ke atas alam sekitar dan meningkatkan peluang ekonomi yang menyumbang kepada komuniti bandar bersifat lebih mampan serta rendah karbon.

"Mereka dapat penjimatan kos tenaga kerana bandar tenaga pintar direka untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga yang boleh menyebabkan bil utiliti lebih rendah untuk penduduk dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta industri berkaitan.

"Bandar tenaga pintar ini juga mungkin mempunyai sistem tenaga berdaya tahan dan mikrogrid yang boleh terus bekalkan kuasa semasa gangguan grid atau bencana alam sekali gus meningkatkan kesediaan dan daya tahan bandar semasa krisis," katanya kepada Bernama.

Menurut Lim bandar yang menggunakan terknologi perisian kembar digital di Masjid Abdullah Fahim, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara dan Hospital Kepala Batas itu, dijangka siap pada akhir tahun ini.



Selain dilimpahi dengan pembangunan masyarakat dan Islam, Bertam juga menjadi pusat tarikan pelancong dengan pengoperasian Bertam Resort and Water Park (BRWP) sejak Disember lepas yang berkonsepkan ala Maghribi dan terletak kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pengarah Urusannya Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu berkata pihaknya bangga kerana dapat membuka banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam industri perhotelan kerana sebelum ini tiada siapa menyangka akan ada sebuah resort yang mempunyai segala kemudahan bertaraf antarabangsa di Bertam.

"Ekonomi setempat juga kian berkembang kerana kami cuba membeli barangan keperluan resort daripada penduduk tempatan sebanyak yang mungkin. Pengunjung resort turut mengunjungi restoran, kedai dan kawasan menarik di sekitar bandar ini," katanya.

Seiring dengan usaha kerajaan menyantuni dan membantu rakyat, beliau berkata taman tema air bertaraf lima bintang itu menawarkan diskaun harga tiket sebanyak 70 peratus daripada harga asal bagi memberi peluang pengunjung merasai 13 jenis tarikan di situ.

Mengenai politik di Bertam, 'suhu'nya agak tinggi lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Sabtu ini kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menyaksikan persaingan sengit satu lawan satu antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan penyandang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq daripada Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas kerusi DUN yang memiliki 23,000 pengundi dan terletak di kawasan dikenali sebagai 'kubu kuat' UMNO atau BN sejak 1974 itu.

"Syaratnya, peralihan undi penyokong Pakatan Harapan (PH) mesti kepada BN dan tiada lagi undi protes yang tidak menyebelahi BN seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas. Reezal Merican ini juga merupakan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, jadi mungkin beliau ada pengaruh kuat," katanya.

Berdasarkan kepada undian pada PRU14, penganalisis politik itu berkata kelebihan masih berada pada calon gabungan Kerajaan Perpaduan kerana pengundi yang mengundi Khaliq Mehtab pada PRU14 adalah penyokong PH yang undinya akan kembali kepada PH sementara BN masih mempunyai penyokongnya yang akan setia mengundi calon parti itu pada PRN kali ini.

Pada PRU14, Khaliq Mehtab daripada PH ketika itu menang dengan undi majoriti 219, namun beliau telah menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH pada 24 Feb 2020 bagi menyatakan pendirian untuk bersama Bersatu serta menyokong kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA