KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana bernilai RM38.5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad yang mengesahkan perkara tersebut berkata kompleks yang mencecah usia 22 tahun itu telah mengalami banyak kerosakan.

"Justeru, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta, termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

"Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat hari ini, kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan berbanding 71 peratus seperti dalam jadual.

BACA: Keselamatan PM, imej negara antara faktor utama ubah suai Seri Perdana

Beliau berkata demikian susulan jawapan bertulis kepada pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat oleh Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.

Menjelaskan berkenaan teks tersebut, Abd Latiff berkata soalan itu telah dijawab secara bertulis oleh beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri.