KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak kebal dari tindakan undang-undang berhubung kes pecah amanah dan rasuah yang dihadapinya.

Jelas Asyraf, menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya, beliau bersetuju dengan kenyataan Syed Saddiq bahawa tiada siapa melepasi undang-undang.

"Betul kata Yang Berhormat 'No One is Above the Law'. Termasuklah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri yang sedang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah atas pelbagai kes penyelewengan, pecah amanah dan rasuah berjumlah RM1.12 juta.

"Menantikan jawapan YB di Mahkamah, macam mana boleh terfikir untuk masukkan wang parti yang diselewengkan ke dalam akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sendiri?," soal Asyraf.

Jelasnya, ahli-ahli politik dari golongan muda diharapkan untuk membina kembali negara dengan amalan politik bersih dan berintergriti serta bebas rasuah.


"Ahli-ahli politik mudalah tanpa mengira parti yang diharapkan untuk membina kembali negara dengan amalan politik yang bersih dan berintegriti bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan apa jua bentuk penyelewengan.

"Apa-apapun tanpa prejudis, kita tunggulah keputusan mahkamah nanti," jelas Asyraf lagi. 

Asyraf berkata demikian ketika mengulas hantaran Facebook Syed Saddiq baru-baru ini mengenai keputusan kes SRC International dimana Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, keputusan mahkamah merupakan peringatan kepada semua bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

Syed Saddiq, 29, berdepan pertuduhan didakwa bersuhabat dengan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Rahim melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1.12 juta milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagi pertuduhan pertama, dia yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Dua lagi pertuduhan dihadapinya melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan masing-masing wang RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Ahli Parlimen Muar itu didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Manakala dibawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan pula, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], dia boleh dihukum dibawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.