BALAI RINGIN: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyerahkan kepada pakar untuk menentukan takrifan wilayah bagi Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelas Abang Johari status berkenaan belum muktamad dan bergantung kepada hasil perbincangan di bawah MA63 antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak

“Ini adalah cadangan Perdana Menteri dan apabila dia berkata demikian kita terima sahaja.

“Bagaimanapun takrifan sebenar kita serahkan kepada pakar untuk menentukan terma sebenar dan kita ketika ini masih  berbincang di bawah MA63,” jelas Abang Johari pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Stadium Mini Balai Ringin pada Sabtu.

Beliau turut merujuk kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai takrifan persekutuan.

“Sebenarnya apa yang berlaku ialah kita telah menimbulkan peruntukan kita dalam perlembagaan iaitu artikel 160(2) dari sudut intepretasi persekutuan dalam peruntukan sekarang.

“Ia merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dalam MA63,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Abang Johari atas semangat kebersamaan dalam pembentukan Malaysia, perlembagaan tersebut perlu dipinda supaya selari dengan MA63 termasuk Perkara 1(2).

“Jadi kita di Sarawak meminta supaya perlembagaan ini dipinda iaitu ia mestilah mengikut MA63.

“Selain daripada Persekutuan Tanah Melayu kita mesti gabungkan supaya Perkara 1(2)  dapat dipinda iaitu Malaysia terdiri daripada Satu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Makan Tengah Hari bersama kepimpinan Masyarakat di Kuching, Sarawak awal bulan ini menggunakan istilah wilayah Sarawak bagi menggantikan negeri.

Jelas Muhyiddin , Sarawak salah satu daripada tiga wilayah di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

BACA: Terma wilayah permulaan terbaik untuk kembalikan semangat MA63 - Fadillah