PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara sinis mahu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberikan perhatian sepenuhnya membangunkan Greater Kedah.

Saifuddin menjelaskan, beliau hanya akan memberi perhatian terhadap beberapa projek kecil di negeri tersebut.

Malah beliau percaya fokus Muhammad Sanusi ialah membangunkan Greater Kedah, walaupun Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri belum pernah diadakan setakat ini.

"Saya nak bagi masa seluas-luasnya kepada Sanusi untuk bangunkan Greater Kedah. Saya biar jaga isu kecil-kecil di Kedah.

"Saya tidak mahu ganggu dia. Dia nak tambak tanah di Langkawi, kemudian dia nak buat jambatan darat. Saya nak dia tumpukan kepada Greater Kedah.

"Dengan cara ini, saya menghormati tugas Sanusi sebagai Menteri Besar untuk membangunkan Greater Kedah.

"Biar saya selesai loji rawatan air sebab di Kedah saya dapat maklum balas air terputus. Loji rawatan air ada lima, di bawah kerajaan Persekutuan, masalah tanah dah diselesaikan.

"Jadi ada projek baharu dan ada projek sambungan. Projek membabitkan RM1.8 bilion. Saya tengok dengan kekerapan saya turun untuk bantu, boleh menjamin kelangsungan projek itu dengan lebih kemas.

"Kalau pun tak ada satu mesyuarat atas nama Majlis Tindakan kerana saya percaya fokus Sanusi ialah Greater Kedah, saya tak mahu ganggu dia, biar dia bangunkan Airport Kulim biar dia lengkapkan dulu tambun tanah projek 'reclaim' dekat Sungai Petani berjumlah RM40 bilion.

"Bagi saya jaga projek kecil. Biar dia jaga projek bilion-bilion," katanya pada sidang media pada Selasa.

Sebelum ini Saifuddin dilaporkan berkata sikap Muhammad Sanusi tidak menjaga rahsia menjadi antara faktor menyebabkan mesyuarat Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.

Beliau yang juga pengerusi bersama jawatankuasa itu, berkata Menteri Besar Kedah terbabit tidak sepatutnya merungut mengenai perkara berkenaan selepas beliau didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat yang dihadiri sebagai modal berceramah di pentas politik.

Muhammad Sanusi pula dilaporkan berkata kebimbangan Saifuddin mengenai kebocoran rahsia kerajaan hanyalah alasan 'mengada-ngada' dan tidak masuk akal.