KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu dua bidang tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang digunakan sebagai pembayaran bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di negeri itu sekitar 2011. 

Saksi ketiga pendakwaan, Datuk Lim Hock Seng memberitahu perkara itu kepada mahkamah pada prosiding perbicaraan melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, hari ini.

Saksi tersebut yang juga bekas Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri  berkata, pembayaran bagi Kos Kebolehlaksanaan dan Kos Reka Bentuk Terperinci bagi empat projek berkenaan adalah berjumlah RM305 juta.

Daripada jumlah tersebut, pemindahan masing-masing melibatkan tanah bernombor LOT 702 dan 713 digunakan bagi membayar Kos Kebolehlaksanaan melibatkan tiga jalan utama sebanyak RM31,269,325.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jermal itu membaca pernyataan saksinya.

Wan Shaharuddin: Tanah-tanah ini milik siapa sebelum diserahkan?

Hock Seng: Kedua-dua tanah ini milik kerajaan negeri Pulau Pinang.

Wan Shaharuddin: Bukan milik Lim Guan Eng?

Hock Seng: Bukan.


BACA: Perbicaraan kes rasuah: Guan Eng arah hubungi dua wakil syarikat BUCG - Bekas Exco

Hock Seng yang ketika ini bertugas sebagai Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang turut memberitahu bahawa Kos Kebolehlaksanaan itu telah dibentangkan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Hock Seng ketika membacakan pernyataan saksi antaranya memberitahu satu mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke-11 pada 16 Mac 2011 telah bersidang.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau telah memaklumkan bahawa pihak Beijing Urban Construction Group (BUCG) telah meminta supaya memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan secepat mungkin.

Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura bersambung pada Khamis.