Nicole Kidman, Keith Urban sah bercerai selepas 19 tahun bersama

Nicole Kidman dan Keith Urban kini sah bercerai selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga. - Gambar fail AP
NASHVILLE: Pasangan selebriti terkenal, Nicole Kidman dan Keith Urban kini sah bercerai selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga.
Hakim Stephanie J Williams di Nashville, Tennessee mengeluarkan perintah pembubaran perkahwinan pada Selasa, selepas mengesahkan penyelesaian pembahagian aset dan hak penjagaan anak adalah mencukupi.
Dalam dokumen mahkamah, Williams menyatakan wujud “perbezaan yang tidak dapat didamaikan” antara kedua-dua pihak sehingga meneruskan perkahwinan dianggap “tidak praktikal dan mustahil.”
Kidman, pemenang Oscar, dan Urban, penyanyi country pemenang Grammy, masing-masing berusia 58 tahun, mempunyai dua anak perempuan remaja.
Perjanjian yang ditandatangani menetapkan Kidman sebagai penjaga utama, namun anak-anak akan terus menetap di Nashville seperti sebelum ini.
Tiada tuntutan nafkah anak atau pasangan dibuat, manakala aset bersama dibahagi secara hampir sama rata.
Perpisahan mengejutkan peminat
Kidman memfailkan perceraian pada September lalu, mengejutkan ramai peminat walaupun proses undang-undang jelas telah dirancang lebih awal.
Semua isu berkaitan aset dan penjagaan anak diselesaikan pada hari permohonan difailkan.
Undang-undang Tennessee menetapkan tempoh menunggu 90 hari bagi pasangan yang mempunyai anak bawah umur sebelum perceraian berkuat kuasa.
Kidman dan Urban, dua bintang besar kelahiran Australia, bertemu di Los Angeles pada 2005 dan berkahwin di Sydney setahun kemudian.
Mereka sering menjadi tumpuan di acara karpet merah sepanjang hampir dua dekad bersama.
Ini adalah perkahwinan pertama Urban dan kedua bagi Kidman, yang pernah berkahwin dengan Tom Cruise dari 1990 hingga 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


