KOTA BHARU:Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melancarkan bidaan Siri Nombor Pendaftaran DDX melalui Sistem JPJeBid mulai 10 hingga 14 Dis ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata keputusan bagi bidaan dalam talian itu pula akan diumumkan pada 15 Dis.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bida Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian JPJeBid itu merupakan langkah strategik JPJ dalam memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat selain meningkatkan kecekapan pengurusan nombor kenderaan melalui sistem urus niaga dalam talian.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBid diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDW, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah sebanyak RM11.88 juta.

JPJ Kelantan merekodkan siri nombor pendaftaran DDV 1 sebagai bidaan tertinggi bernilai RM250,000," katanya kepada pemberita selepas sidang media pelancaran bidaan nombor siri DDX di Tunjong di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, orang ramai yang berminat boleh melakukan pendaftaran melalui portal http://jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih JPJeBid menggunakan telefon pintar.

"Ia terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas serta syarikat yang berdaftar.

"Orang ramai atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana Pejabat JPJ Negeri dan Cawangan JPJ kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC)," katanya.

Jelasnya, harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang telah ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 bagi Nombor Bernilai Utama, RM3,000 bagi Nombor Menarik, RM800 bagi Nombor Popular dan RM300 bagi Nombor Biasa.

"Bagi setiap nombor itu kenaikan bidaan minimum ialah pada kadar lima peratus iaitu antara RM15 hingga RM1,000.

"Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid hanya menggunakan kad kredit dan debit tempatan sahaja. Tiada sekatan untuk melakukan bidaan namun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran manakala bagi syarikat pula hanya dibenarkan lima nombor pendaftaran," katanya.

-- BERNAMA