Kapal layar mewah Equanimity yang sebelum ini dimiliki oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kini dibuka untuk pembeli.

Menurut peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ong Chee Kwan berkata, ia kini dibuka kepada pembeli yang serius mengemukakan bidaan dengan deposit RM4.18 juta.

Proses bidaan tersebut akan berlangsung bermula Isnin sehingga 28 November, 2018, kata Ong.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas prosiding permohonan 1MDB untuk menadapatkan kebenaran mahkamah bagi terma dan syarat yang akan disiarkan kepada umum ketika proses bidaan.

“Ini bukan bidaan atas talian, tidak semua orang boleh mengemukakan bidaan ... kita akan menetapkan tarikh bagi pembida layak untuk melihat keadaan kapal," katanya.

Bagi pembida yang telah berjaya dipilih oleh mahkamah, mereka perlu membayar 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal dan baki 90 peratus dalam tempoh 10 hari kemudian.

Kata Ong, iklan berhubung penjualan kapal mewah itu akan disiarkan hari ini atau esok. Pembida yang berminat boleh menghubungi ejen pusat seperti yang tertera dalam iklan tersebut.

Beliau menambah, pembida atau pembeli yang berjaya akan mendapat pemilikan sah. Harapan kami ialah supaya kapal itu bukan lagi dalam pemilikan kami pada Disember ini.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik Jho Low.