Tidak seperti Pekan, daerah Lipis agak jarang dikaitkan dengan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Namun, bagi masyarakat setempat, nama Najib mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana di sinilah beliau dilahirkan pada 23 Julai 1953 semasa ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein mendiami Rumah Setiausaha Kerajaan Pahang di Bukit Bius di sini.

Najib juga sempat mendiami rumah dua tingkat berstruktur kayu dan batu itu, yang dibina pada 1920, selama dua tahun sebelum ibu negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 1955.

Tempoh singkat Najib di Lipis tetap membawa erti kepada penduduk daerah ini khususnya buat Puteh Hassan, 91, yang diberi tanggungjawab memandikan anak sulung Tun Abdul Razak dan Tun Rahah Mohd Noah itu semasa beliau berusia beberapa minggu.

Anak sulung Puteh, Fatimah Hassan, 68, menceritakan bahawa ketika itu ibunya yang bekerja di Hospital Kuala Lipis selepas lulus ujian menjadi bidan pada 9 Julai 1947, telah berulang alik ke rumah Tun Razak selama hampir sebulan bagi melakukan tugasnnya itu.

"Emak dipanggil untuk menggantikan bidan lain yang diberikan tugas itu. Waktu itu, tidak ramai bidan Melayu di sini. Jadi emak akan ke rumah Tun Abdul Razak pada waktu pagi," katanya semasa ditemui Bernama di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Fatimah berkata reputasi ibunya sebagai bidan mungkin didengari daripada penduduk tempatan.


Orang berjaya

Selain Najib, Puteh juga pernah menjaga Permaisuri Pahang Tengku Ampuan Afzan berpantang selepas melahirkan puteri bongsunya Tengku Shahariah di Istana Hinggap Lipis, yang terletak bersebelahan rumah kelahiran Najib.

"Dahulu orang besar tidak ke hospital untuk bersalin. Bidan yang dipanggil ke rumah... yang menyambut kelahiran Najib, mengikut cerita emak, adalah seorang bidan senior dan dibantu bidan Timah. Tapi mereka sudah meninggal dunia," katanya.

Fatimah berkata semasa Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 1982, emaknya cukup berbangga kerana 'MB' (menteri besar) itu pernah dibelainya semasa kecil.

"Ramai juga bayi yang emak sambut semasa kelahiran, berjaya dalam hidup. Ada yang jadi jurutera, ahli perniagaan. Mereka pernah terserempak dan bersalaman dengan emak semasa pulang ke Lipis. Tapi yang paling berjaya sudah pasti Perdana Menteri," katanya.

Fatimah memberitahu kesihatan dan ingatan Puteh mula merosot sejak enam tahun lalu, dan kini emaknya menggunakan kerusi roda dan mereka sering berulang-alik ke Putrajaya bagi pemeriksaan doktor.


Ilmu warisan keluarga

Mengimbau bagaimana Puteh boleh bergelar bidan, Fatimah berkata ibunya terlebih dahulu bekerja sebagai pembantu di hospital dan seorang doktor telah memintanya mengikuti kursus bidan setelah menyedari kemampuannya.

"Emak juga berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia pada 30 Dis 1972 apabila Peraturan (Pendaftaran) Bidan diwajibkan pada 1971. Selepas pencen pun, emak tetap dipanggil menyambut bayi walaupun pada tengah malam.

"Emak tak sanggup hampakan orang walaupun hanya terima sehelai kain batik sebagai upah. Kami yang risau keadaannya...emak kemudian terima surat daripada pejabat kesihatan bahawa mereka yang berusia 60 tahun ke atas tidak boleh menyambut kelahiran bayi kerana dikhuatiri berisiko," katanya.

Sementara itu, penduduk jati Lipis, A. Rahim Mat Yunus, 88, menyifatkan Najib sebagai banyak mengikuti jejak bapanya Tun Abdul Razak yang senang didekati rakyat meskipun menyandang jawatan penting.

Pesara pemandu bot Pejabat Daerah Lipis itu berkata Tun Abdul Razak amat berbudi bahasa, menghormati orang dan mementingkan rakyat menyebabkan beliau dipandang tinggi masyarakat setempat.

"Walaupun tidak lama di sini, saya sering mengikuti perkembangan Tun Razak. Saya bangga kerana beliau memberi pendedahan kepada Najib dari usia awal. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi," katanya.