JITRA: Bagi individu yang tidak tergolong dalam kategori warga emas atau mempunyai masalah kesihatan serius, menunggu tarikh pemberian suntikan vaksin COVID-19 umpama 'menanti buah yang tidak gugur.'

Tambah merisaukan, mereka terpaksa keluar bekerja setiap hari meskipun berada dalam Sekatan Pergerakan Penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0

Itu luahan seorang eksekutif sebuah kilang di sini, Mohd Firdaus Alfred Abdullah, 39.

"Saya risau, kilang ada kebenaran untuk beroperasi, jadi saya perlu bekerja setiap hari.

"Di rumah ada anak-anak kecil, kalau boleh memang nak sangat dapat vaksin cepat, nak pergi kerja pun tak risau sangat, dah daftar vaksin sejak Februari lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Berkongsi kebimbangan sama, Qhairul Mariah Abd Rahman, 38, memaklumkan beliau sebenarnya tidak sabar untuk divaksin kerana berpendapat hanya dengan cara itu risiko jangkitan wabak tersebut yang sedang 'menggila' ketika ini akan dapat dikurangkan.

"Saya seorang konsultan syarikat penapis air, dalam sebulan hampir 100 rumah saya pergi dan ada tuan rumah takut kat kita, kita pun takut kepada tuan rumah, kalau dah vaksin, pelanggan pun akan rasa yakin sikit dengan kita.

"Saya sangat berharap proses suntikan vaksin ini dapat mengambil kira orang seperti saya, yang bekerja (dan terpaksa berdepan) dengan orang ramai yang kita tak tahu latar belakang mereka," katanya yang juga sudah mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera sejak Februari lepas.

Seorang tukang jahit, Sarimah Saad, 47, pula berkata beliau amat berharap agar segera divaksin dan tidak kisah apa juga jenama vaksin yang bakal diterima asalkan dapat 'memasang perisai' untuk melindungi diri serta keluarga.

Sarimah berkata beliau dan anaknya sudah mendaftar sebagai penerima vaksin sejak dari awal lagi iaitu pada Mac lepas serta sentiasa memeriksa aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh janji temu untuk divaksin.

"Walaupun tiada sebarang masalah kesihatan yang boleh dijadikan alasan untuk dapat vaksin segera, tapi kakak nak sangat dapat cepat sebab sekarang rasa tak selamat, kalau dah suntik vaksin, rasa lega sikit," katanya.

-- BERNAMA