MALAYSIA
“Bila kami dapat pampasan RM3.8 juta?” - Penduduk Kampung Sungai Baru minta semak fakta

Zainab (tiga kanan) berkata, pihak berwajib perlu tampil menjelaskan perkara sebenar terutama mengenai nilai sebenar tawaran kepada penduduk. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru menafikan dakwaan kononnya pemilik rumah di kawasan terlibat menerima pampasan sehingga mencecah RM3.8 juta seperti digembar-gemburkan segelintir pihak.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Zainab Alias berkata, pihak berwajib perlu tampil menjelaskan perkara sebenar terutama mengenai nilai sebenar tawaran kepada penduduk.
“Orang kata kami dapat RM3.8 juta, RM2.25 juta, tapi mana hitam putih? Saya sendiri tidak pernah menerima angka itu. Rumah saya dua tingkat, tapi dalam dokumen rasmi pampasan yang dinyatakan hanyalah sekitar RM448 satu kaki persegi sedangkan ada pihak menyebut sehingga RM850 kaki persegi,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus yang mendakwa, pampasan diberikan pihak pemaju adalah munasabah, malah ada yang mencecah sehingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres.Mengulas lanjut, Zainab berkata, perkara tersebut hanya khabar angin kerana beliau sendiri tidak mendapat jumlah pampasan seperti yang didakwa.
"Itu cakap-cakap sahaja. Adakah sesiapa penduduk rumah teres dapat begitu? Ada hitam putih? Siapa yang mengatakan kami terima RM3.8 juta, ada ke fakta? Hitam putih kamu dakwa sebegitu? Sedangkan saya pun tidak dapat RM3.8 juta," jelasnya.
Sehubungan itu, Zainab berharap, semua pihak tidak mudah percaya dengan anasir luar kerana hakikatnya, beliau berkata, tanah Kampung Sungai Baru mempunyai nilai tinggi atas faktor kedudukannya bersebelahan pusat bandar.
“Harga tanah di kawasan sekitar KLCC boleh mencecah RM2,500 satu kaki persegi tapi untuk kampung kami, mereka letakkan jauh lebih rendah. Ini sangat tidak masuk akal, langsung tidak adil,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami