PUTRAJAYA: Bilangan ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang.

Ia susulan dua kementerian sebelum ini dipecahkan dan kewujudan satu portfolio baharu di Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian yang dipecahkan adalah Kementerian Komunikasi Digital menjadi dua kementerian iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Fahmi Fadzil kekal sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dilantik Menteri Digital.

Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) kini diamanahkan untuk menerajui Wilayah Persekutuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyaksikan peningkatan jumlah timbalan menteri iaitu 27 kepada 29 orang.

Jumlah keseluruhan peningkatan itu adalah 60 orang barisan kabinet namun ia lebih rendah berbanding saiz Kabinet ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri iaitu 70 orang. - Sinar Harian